Ahad, 15 Disember 2019

Mangsa banjir di Rompin meningkat pagi ini

Bernama
Mangsa banjir di Rompin meningkat pagi ini
Setakat jam 7 pagi, tiga lagi PPS dibuka sejak malam tadi, menjadikan jumlah keseluruhan PPS di sekitar Rompin kepada sembilan buah. Foto ihsan APM
 

KUANTAN: Mangsa banjir di Rompin dekat sini, semakin meningkat pagi ini dengan catatan 681 mangsa daripada 176 keluarga berbanding 345 orang melibatkan 92 keluarga, malam tadi.

Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melaporkan setakat 7.00 pagi, tiga lagi pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka malam tadi, menjadikan jumlah keseluruhan PPS di sekitar daerah ini kepada sembilan buah.

"Tiga PPS yang baru beroperasi ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Sarang Tiong yang menempatkan 66 mangsa daripada 12 keluarga, Dewan Angkat Berat Rompin (42 mangsa, 10 keluarga) dan Balai Raya Bukit Lepas (33 mangsa, lapan keluarga).

"PPS SK Pianggu terus mencatatkan mangsa paling ramai iaitu 263 orang daripada 76 keluarga diikuti PPS Kampung Setajam (159 orang, 43 keluarga) dan Balai Raya Kampung Sepayang (35 mangsa, sembilan keluarga)," menurut portal itu.

Sementara itu, PPS Balai Raya Kampung Janglau kini dihuni 34 mangsa daripada enam keluarga, Dewan Telok Gading di Tanjung Gemok (26 mangsa, lapan keluarga) dan Surau Kampung Perpat (23 mangsa, empat keluarga).

BACA: Pahang mula dilanda banjir, 142 mangsa dipindahkan

Daerah Rompin mula dilanda banjir sejak semalam, ekoran hujan lebat yang berlarutan sejak Jumaat menyebabkan beberapa kawasan rendah dinaiki air selain berlaku limpahan sungai.

Sementara itu, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang Kol (PA) Zainal Yusoff menerusi kenyataan medianya berkata tiga jalan di Rompin kini ditutup kepada kenderaan sejak 11 malam tadi iaitu Jalan Kampung Denai, Jalan Kampung Sungai Mok dan Jalan Lubuk Batu.

"Paras Sungai Pukin di Rompin juga sudah 0.13 meter melepasi tahap waspada iaitu 44 meter dengan jangkaan berlaku hujan pada pagi ini manakala sembilan lagi sungai di daerah sama menunjukkan trend meningkat, namun masih berada di tahap normal," katanya.-- BERNAMA

Tiada ulasan: