Jumaat, 27 Disember 2019

Kumpulan moderat, keras, berhimpun demi Uyghur

M FAKHRULL HALIM
 

Jalan Ampang di Kuala Lumpur hari ini menjadi tapak himpunan dua kumpulan Islam berbeza kutub dalam satu protes besar-besaran yang diadakan sebagai solidariti terhadap penindasan kaum Uyghur, iaitu penduduk minoriti Muslim di China.

Kumpulan yang dilihat lebih moderat - terdiri dari Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dan beberapa NGO lain - serta kumpulan yang dilihat lebih keras - Hizbut Tahrir, berhimpun bagi menyerahkan memorandum kepada Kedutaan Besar China di Malaysia.

Kedua-dua kumpulan itu pada mulanya memulakan perhimpunan di tempat berbeza, iaitu di Majid Ibnu Mas’ud dan Masjid Tabung Haji, sebelum mereka kemudiannya bertembung dan berhimpun bersama di tepi sebuah pasar raya, berdekatan dengan kedutaan China.

Pada jam 2.44 petang, wakil daripada kedua-dua kumpulan bergerak diiringi polis ke hadapan bangunan Kedutaan Besar China bagi menyerahkan memorandum, namun niat itu tidak kesampaian apabila tiada wakil dari kedutaan yang turun untuk menerimanya.

Memorandum itu kemudiannya hanya diselitkan di pintu pagar bangunan kedutaan sahaja sebelum wakil-wakil tersebut kembali menyertai himpunan yang berakhir kira-kira jam 3.30 petang.

Tiada ulasan: