Selasa, 31 Disember 2019

Kompaun, batal lesen jika gagal pasang papan tanda jawi

Asrol Awang
 
 

TIADA lagi kompromi terhadap pemilik premis perniagaan di Pahang yang gagal memasang papan tanda bertulisan Jawi berkuat kuasa, esok.

Ini kerana pemilik premis yang didapati gagal mematuhi arahan terbabit, kompaun RM250 atas kesalahan pertama boleh diambil manakala bagi kesalahan kedua pula, lesen perniagaan dibatalkan.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Abdul Rahim Muda berkata,
tindakan itu berdasarkan peruntukan undang-undang pihak berkuasa tempatan (PBT) di Pahang.

Katanya, tempoh setahun sudah diberikan kepada pemilik premis untuk menambahkan tulisan Jawi pada papan tanda premis masing-masing.

“Jika mereka gagal mematuhi arahan ini, kompaun maksimum RM250 bagi kesalahan pertama dan pembatalan lesen akan dikenakan bagi kesalahan kedua,” katanya.

Abd Rahim berkata demikian pada sidang media selepas sesi taklimat mengenai perancangan PBT Pahang 2020, hari ini.

Mengulas perancangan berkenaan, beliau berkata, Kerajaan Pahang akan memastikan perkhidmatan PBT di negeri ini menepati kriteria ditetapkan dalam menuju status bandaraya pertengahan tahun depan.

“Langkah itu bagi memantapkan lagi mutu perkhidmatan dan sistem penyampaian kepada orang ramai serta memudahkan semua pihak apabila berurusan dengan semua PBT di Pahang,” katanya.

Beliau berkata, selain memberikan imej lebih baik kepada daerah Kuantan dan kawasan lain, pemindahan gerai di tepi jalan utama dilakukan bagi menjamin kebersihan makanan dijual dan keselamatan peniaga serta pelanggan mereka.

“Ada antara gerai beroperasi terlalu hampir dengan jalan utama atau selekoh yang sudah pasti mengundang risiko tidak diingini.

“Berikutan itu, kita akan pindahkan gerai terbabit dan ada yang sudah kita alihkan ke lokasi lebih selamat seperti di kawasan Taman Tas, di sini,” katanya.

Tiada ulasan: