Isnin, 30 Disember 2019

K’jaan tangguh pelaksanaan program subsidi petrol

MALAYSIAKINI




Mesyuarat jemaah menteri telah memutuskan bahawa pelaksanaan Program Subsidi
Petrol (PSP) yang sepatutnya bermula pada 1 Januari tahun depan akan ditangguhkan.

Dalam satu kenyataan hari ini, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Saifuddin Nasution bin Ismail berkata, pelaksanaan PSP tidak diteruskan sehingga satu masa yang akan diumumkan kemudian.

“Hal ini bagi memberi ruang untuk sesi penerangan dan penjelasan diteruskan dengan tujuan memberi kefahaman dan mempersiapkan rakyat menerima pelaksanaan program PSP ini.

“(Ia juga bagi) proses pendaftaran penerima daripada kelompok M40 yang akan dikendalikan oleh kementerian kewangan.

“Sementara menunggu pengesahan pelaksanaan PSP diumumkan, rakyat akan terus menikmati harga petrol berdasarkan sistem sedia ada.,” katanya.

Kerajaan pada 7 Oktober lalu mengumumkan pelaksanaan PSP dengan peruntukan RM2.4 bilion dalam Belanjawan 2020 akan dilaksanakan berkuat kuasa bulan depan, selaras manifesto Pakatan Harapan.

Program subsidi bersasar bagi menangani ketirisan bekalan bahan api itu dijangka memberi manfaat kepada lapan juta penerima daripada kelompok B40 dan M40 yang ketika ini berdepan peningkatan kos sara hidup.

Harga petrol sekarang adalah mengikut formula Mekanisme Harga Automatik (APM) dengan harga runcit produk petrol RON95 dan diesel masing-masing ditetapkan pada paras RM2.08 seliter dan RM2.18 seliter.


Tiada ulasan: