Isnin, 30 Disember 2019

Khalid: Saya tak boleh tawar penyelesaian kekal isu penduduk Segambut Permai

REMIEZA WAHID




Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad menjelaskan bahawa kementeriannya tidak boleh menawarkan penyelesaian kekal buat penduduk di Kampung Segambut Permai.

Jelasnya, bantuan seperti penempatan di unit Projek Perumahan Rakyat (PPR) sudah diberikan kepada penduduk supaya dapat tinggal sementara mencari tempat tinggal baru.

“Saya tidak boleh tawarkan penyelesaian kekal, tidak ada rancangan untuk itu.

“Kita bagi rumah transit kerana ketika rumah mereka (di Segambut Permai) dirobohkan, penduduk boleh tinggal di unit PPR dalam tempoh enam bulan untuk cari tempat tinggal lain.

“Kalau layak dan sesuai syarat untuk penduduk tinggal di rumah PPR, kita akan pertimbangkan lagi enam bulan selepas itu,” katanya ketika ditemui di ibu pejabat kementeriannya di Putrajaya hari ini.

Pada 24 Disember lalu, jentolak merobohkan rumah-rumah tak berpenghuni di Kampung Segambut Permai.

Kekecohan tercetus antara penduduk, yang disokong Parti Sosialis Malaysia (PSM), dengan polis dan bailif mahkamah.

Tanah Kampung Segambut Permai, yang dibeli oleh sebuah syarikat swasta dirancang dengan pelan pembangunan mendapat perintah mahkamah telah dikeluarkan pada 26 September untuk perobohan.

Tetapi pemilik tanah bersetuju menangguhkan perobohan tersebut sehingga Disember, dan dalam masa itu, sebahagian penduduk telah berpindah keluar.

Sementara itu, Khalid juga menyeru agar penduduk bersama pemilik tanah di Kampung Segambut Permai cari jalan penyelesaian bersama dan jangan menuntut sesuatu yang pihak kementerian sukar penuhi.

“Saya mintak maaf, saya nasihat mereka (penduduk) untuk terima tawaran diberikan kita (kementerian) bantu sebaik mungkin. Jangan letak tuntutan sukar dipenuhi, kita cuma bantu saja.

“Dia tiada kena mengena kementerian dan DBKL pun. Sepatutnya pemilik tanah dan penduduk uruskan hal ini dengan cara terbaik dan bawa ke Mahkamah jika ada masalah,” katanya.

Untuk rekod, Anggota Parlimen Segambut Hannah Yeoh sebelum ini berkata mahkamah telah mengarahkan perobohan pada 26 September tetapi ia ditangguhkan kepada awal Disember.

Khalid kemudian campur tangan dan meminta penangguhan selama dua minggu lagi agar pihaknya dapat mengaturkan "rumah transit" buat penduduk.

Khalid sebelum ini berkata kementeriannya dan DBKL telah cuba membantu penduduk, sehingga melangkaui kapasiti yang sepatutnya.

“Mereka mendiami tanah persendirian, bukan tanah kerajaan. DBKL tak perlu campur tangan, tapi kami tak sanggup (melihat) keluarga itu tinggal di jalanan kerana rumah mereka dirobohkan,” katanya.


Tiada ulasan: