Sabtu, 28 Disember 2019

Khabar angin Mohamed Apandi letak jawatan tidak benar: Annuar

Tan Sri Annuar Musa - FOTO SHARIFUDIN ABDUL RAHIM


SHAH ALAM - UMNO belum menerima sebarang surat peletakan jawatan daripada Pengerusi Lembaga Disiplin parti itu, Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, khabar angin itu tidak sepatutnya berlaku kerana Mohamed Apandi kini berada di luar negara.

"Apa-apa kekeliruan berbangkit dan jika ada, akan diperjelaskan secara kenyataan rasmi," kata Annuar melalui akaun Twitter miliknya hari ini.

Mohamed Apandi hari ini mengumumkan akan meletak jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO kerana kecewa dengan campur tangan kepimpinan parti berhubung siasatan melibatkan bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien atas tuduhan melanggar Perlembagaan dan tata etika sebagai ahli parti.

Menurut beliau, Lembaga Disiplin UMNO merupakan satu badan bebas yang tidak tertakluk kepada sebarang arahan pucuk pimpinan parti.

Beliau berkata akan meletak jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO sebaik sahaja pulang ke tanah air daripada bercuti di luar pada awal Januari 2020.

Sebelum ini, berdasarkan sepucuk surat ditandatangani Mohamed Apandi Ali yang tersebar, Hishammuddin merangkap Ketua UMNO Bahagian Sembrong perlu memberi penjelasan kepada Lembaga Disiplin UMNO menerusi satu sesi pendengaran di Ibu Pejabat UMNO, Kuala Lumpur pada hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Mohamed Apandi letak jawatan Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO

Hishammuddin didakwa melanggar Fasal 20.8 (b), (c ), dan (f) Perlembagaan UMNO dibaca bersama dengan Perkara 3.1.2, 3.1.4 dan 3.1.6 Tataetika Ahli UMNO, dan jika didapati benar, Ahli Parlimen Sembrong itu boleh dihukum di bawah Fasal 20.9 Perlembagaan UMNO.

Bagaimanapun, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan tiada sebarang tindakan lanjut akan diambil terhadap Hishammuddin yang berdepan siasatan Lembaga Disiplin UMNO atas tuduhan melanggar Perlembagaan dan tata etika sebagai ahli parti.

Kata Ahmad Zahid, tiada tindakan lanjut akan diambil kerana kes telah selesai sepenuhnya dan menegaskan surat tunjuk sebab yang tersebar itu adalah tidak sah.

Tiada ulasan: