Jumaat, 13 Disember 2019

Kg Baru Cina: Pemberian tanah 999 tahun pelik

Oleh Azrul Hakimie Anuer

 

Apa istimewa kampung berkenaan banding penempatan lain di Perak

BANGI – Kerajaan negeri Perak perlu menjawab persoalan mengapa hak pemilikan kekal diberikan kepada tanah kampung baru Cina di negeri tersebut sedangkan amalan ketika ini hanya memberikan pegangan pajakan.

Pakar Perlembagaan, Dr Muhammad Fathi Yusof berkata, sejak pindaan dilakukan terhadap Kanun Tanah Negara sekitar tahun 1980an pemberian tanah sama ada kepada syarikat atau milikan individu tidak lagi diberikan secara kekal.

Beliau berkata, selepas dipinda Perak termasuk beberapa buah negeri lain hanya memberi pegangan pajakan tanah selama 99 tahun.
“Dahulu memang pemberian tanah secara pegangan kekal tapi melalui satu pindaan undang-undang kita telah mengutamakan pendekatan pegangan pajakan.

“Kalau dilihat dari sudut keseragaman dan kesaksamaan sepatutnya perkara ini juga turut berlaku kepada pemberian tanah kampung baru (Cina) yang kita bincangkan itu,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Sebelum ini, Naib Pengerusi DAP Perak, Dr Abdul Aziz Bari berkata, janji manifesto Pakatan Harapan (PH) Perak boleh dilaksana kerana soal tanah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri dan tidak bertentangan dengan Perlembagaan atau melanggar ketetapan Mesyuarat MTN.

“Mengikut Perlembagaan Persekutuan tanah adalah bidang kuasa kerajaan negeri, dan MTN tidak mengambil alih kuasa penuh negeri ke atas tanah serta hanya menetapkan soal dasar dan terpulang kepada negeri-negeri untuk melaksanakan atau tidak.

“Jadi bukan soal keputusan hendak buat atau tidak, bukan soal tuntutan DAP ia adalah tawaran PH Perak, ini yang saya ingin tegaskan,” katanya.

Bagaimanapun, 13 Ogos tahun lalu, Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu ketika menggulung perbahasan atas Titah Diraja pada Sidang Dewan Undangan Negeri Perak ke-14 menjelaskan bahawa pihaknya tidak boleh memberikan status hak milik 999 tahun atau hak milik kekal kepada kampung baharu itu kerana ia bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata, mesyuarat MTN pada 25 April 1997 menetapkan tempoh pegangan pajakan bagi kampung-kampung baru tersebut hendaklah sekurang-kurangnya 60 tahun tetapi tidak melebihi 99 tahun.

Dalam perkembangan lain, Dr Muhammad Fathi turut mempersoalkan keputusan pemberian tanah selama 999 tahun kepada tanah kampung baru Cina.

Katanya, apa perbezaan di antara tanah kampung baru Cina diberi pegangan selama 999 tahun berbanding tanah kampung baru lain yang hanya diberikan tempoh masa 99 tahun.

“Cumanya kita pelik kenapa wujud satu keistimewaan yang luar biasa, kalau kerajaan ingin berikan hak milik yang lama sepatutnya berikan sahaja dalam bentuk pegangan tetap. Kalau nak laksanakan dasar itu biarlah dilaksanakan secara seragam.

“Jika sekiranya ada keistimewaan yang diberikan kepada kampung baru itu kena kemukakan sebab dan mengapa tempat lain tidak terima keistimewaan ini,” katanya.


Tiada ulasan: