Ahad, 8 Disember 2019

Ketua Pemuda PKR kecam ‘pelagak’ dalam parti

(Gambar Bernama)

AYER KEROH: Ketua Pemuda PKR, Akmal Nasir mengecam mereka yang berpura-pura dalam parti dengan memberi contoh aktivis menjadi wakil rakyat dan menteri dengan ijazah palsu.

Dalam ucapan penggulungannya di Kongres Nasional PKR hari ini, beliau membidas individu yang berpura-pura mempertahankan perjuangan parti, tetapi mereka sebenarnya sibuk mengambil kesempatan dan keuntungan.

“Berlagak sibuk, tapi tak buat kerja. Berlagak tenang, tetapi kekal serang. Berlagak pejuang, tapi pengkhianat,” katanya sambil menamakan mana-mana individu.

Beliau berkata, muslihat berpura-pura itu akhirnya akan terbongkar.

“Adakah sikap kepura-puraan ini wujud dalam parti?

“Ada yang nampak seperti pejuang aktivis hak asasi manusia, tapi bila jadi YB sibuk mengekori ‘political master’ tanpa ada prinsip dan hala tuju.”

Beliau turut memberi contoh mereka yang kelihatan seperti pemurah dan menjaga orang bawahan, tetapi rupanya mereka “mentekedarah” dan mengkayakan diri.

“Ada menteri yang suka tunjuk hebat, mengajar dan mengarah orang sana sini, tapi rupanya sijil pendidikan pun sijil palsu.

“Ada yang sibuk susun strategi kononnya menjadi orang tengah, tapi rupanya sibuk nak pecahkan parti.

“Ada yang berlagak pemimpin terpilih menjaja sana sini, tapi langsung tak ambil peduli organisasi, tak hadir mesyuarat.”

Akmal berkata, rakyat dan ahli akan marah apabila mereka merasakan diri dipermaikan dan dipergunakan.

“Kita nampak rasuah, kita perangi. Tapi cegah berdasarkan maklumat dan fakta. Kita jangan ambilnya remeh kerana itu akan menghalalkan banyak perkara tidak baik.”

Beliau berkata, tindakan tegas perlu diambil untuk mengelakkan kepura-puraan bermaharajalela dalam parti dan perjuangan itu adalah pelaksanaan kata-kata.

Katanya, beliau akan mencadangkan pemimpin Pemuda PKR yang tidak menghadiri mesyuarat digugurkan.

“Jangan biarkan yang berpura-pura mewakili kita.”

Mengenai pergaduhan yang berlaku ketika Kongres Pemuda PKR diadakan Jumaat lalu, Akmal berkata, beliau mendapat maklumat dalam bentuk pesanan mesej ada pihak bercadang mengunci pintu dewan kongres dan membuat undi tidak percaya terhadapnya.

“Saya akan serahkan (bukti ini) kepada polis untuk siasat dan jika benar ada orang yang merekrut gengster untuk kacau AMK (Pemuda) kita, wajib pecat serta-merta dan siasat bawah Kanun Keseksaan.”

Tiada ulasan: