Khamis, 12 Disember 2019

Jawi: Apa perlu buat jika 50:50?

MalaysiaGazette
MGF15082019_HUMAN-INTEREST-TULISAN-JAWI-DAN-KHAT06
Mata pelajaran tulisan Jawi di sekolah jenis kebangsaan masih menimbulkan kontroversi.

KUALA LUMPUR – Susulan garis panduan Kementerian Pendidikan yang menetapkan pengenalan kepada tulisan Jawi diadakan di sekolah vernakular jika soal selidik mendapati 51 peratus atau lebih ibu bapa di satu-satu sekolah bersetuju dengannya, Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia (Hua Zong) pada Rabu meminta penjelasan lebih lanjut.

Sinchew Daily melaporkan, pertubuhan itu antaranya bertanya apa yang akan berlaku jika hasil selidik mendapati 50 peratus bersetuju dan 50 peratus tidak bersetuju.

“Adakah hasilnya ditentukan melalui cabut undi, buang syiling atau sebagainya?”

Pengerusi Hua Zong, Tan Sri Goh Tian Chuan juga meminta Kementerian Pendidikan segera bertemu dengan pertubuhan pendidikan Tamil dan Cina bagi menjelaskan pelbagai isu yang kabur.

Katanya lagi, peranan lembaga pengelola di sekolah rendah jenis kebangsaan Cina (SRJKC) tidak harus dipinggirkan dalam mana-mana isu membabitkan sekolah berkenaan.

Tambahnya, garis panduan yang dikeluarkan juga memberi kesan kepada sekolah vernakular yang mempunyai ibu bapa keturunan Melayu.

“Jika tidak dikendalikan dengan baik, ia tidak baik kepada perpaduan, malahan mengoyakkan keharmonian yang wujud antara ibu bapa dan murid pelbagai kaum,” katanya.

10 persoalan yang ditimbulkan Hua Zong adalah:

1. Kementerian Pendidikan tidak memberi jawapan tepat berhubung permintaan supaya lembaga pengelola menjadi salah satu unit yang dirundingkan dalam soal pengajaran tulisan Jawi.

2. Adakah Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) memegang peranan mengumpulkan pandangan ibu bapa?

3.Kabinet bersetuju supaya lembaga pengelola dibabitkan dalam pembuatan keputusan jika tidak wujud PIBG dalam sekolah. Adakah ini bermakna lembaga pengelola hanya berperanan mengumpulkan pandangan ibu bapa?

4. Bolehkah PIBG dan lembaga pengelola (jika sekolah tiada PIBG) menyatakan pendirian?

5. Adakah kumpulan minoriti (49 peratus) dalam sekolah yang mempunyai lebih ramai murid Cina dan India perlu akur supaya  Jawi tidak diajarkan jika majoriti (51 peratus) tidak menerima pengajarannya?

6. Atau kelas khusus akan diadakan untuk 49 peratus yang bersetuju Jawi diajarkan?

7. Dalam sekolah vernakular dengan majoriti murid Melayu pula, adalah minoriti dalam sekolah juga perlu akur kepada majoriti?

8. Adakah minoriti yang tidak bersetuju Jawi diajarkan akan diberi pilihan untuk dikecualikan daripada pelajaran Jawi?

9. Apakah penyelesaiannya jika berlaku keadaan 50:50. Adalah ia ditentukan dengan cabut undi, buang syiling dan cara lain?

10. Adakah Kementerian Pendidikan bersedia bertemu dengan pertubuhan pendidikan Cina dan Tamil untuk dialog yang ikhlas demi melakukan penambahbaikan? – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: