Ahad, 29 Disember 2019

Himpunan lagi besar dari ICERD, sekiranya Dong Zong berdegil

KAJANG – Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) diberi amaran oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) jika mereka masih bertegas untuk membantah pembelajaran jawi di sekolah-sekolah vernakular.

Bersama sokongan lebih 100 NGO, Gerakan Pembela Ummah Malaysia (UMMAH) menyatakan bantahan terhadap tulisan jawi di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) disifatkan sebagai tindakan yang menyalahi dasar pendidikan negara dan Perlembagaan Persekutuan.

Timbalan Pengerusinya, Mohd Zai Mustafa menegaskan bahawa pihaknya akan melakukan kongres rakyat secara besar-besaran sekiranya Dong Zong masih berkeras untuk meneruskan kongres Jawi.

“Kita beri amaran kepada Dong Zong dan pihaknya, jika mereka masih ingin teruskan lagi niat untuk membantah jawi, kita akan mengadakan kongres dan perhimpunan rakyat yang lebih besar daripada Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) untuk menyatakan bahawa majoriti rakyat dalam negara ini mahukan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dalam semua urusan termasuk pendidikan,

“Kami menolak sepenuhnya kongres yang dibuat Dong Zong kerana ia bertentangan dengan semangat keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada 29 Disember lalu bahawa Parti Gerakan telah cuba untuk peroleh tulisan jawi tidak boleh diajar di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC),” ujar Mohd Zai ketika sidang media di hadapan bangunan Kolej Universiti New Era, Kajang.

Mohd Zai berkata, Dong Zong tidak perlu menaikkan lagi isu-isu sensitif seperti ini kerana ia seolah-olah ingin mengajak rakyat untuk berpaling dari undang-undang dan perlembagaan dalam Malaysia.

“Isu-isu sensitif berkaitan bangsa dan agama tidak boleh dibantah secara terang-terangan kerana ini boleh menimbulkan masalah perkauman di negara ini,” tambah Mohd Zai.

Menurut Mohd Zai, pihaknya juga akan bermesyuarat petang ini bagi memutuskan langkah seterusnya agar isu sensitif seperti ini tidak lagi disuarakan.

Pengerusi Pertubuhan Semangat Gelombang Rakyat Malaysia (SEGAR), Ellie Suriaty Omar. Foto: Air Times/M.Faizie

Dalam pada itu, Pengerusi Pertubuhan Semangat Gelombang Rakyat Malaysia (SEGAR), Ellie Suriaty Omar berkata penolakan penggunaan bahasa jawi oleh Dong Zong adalah satu tindakan rasis yang bercanggah dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Jawi yang hendak diperkenalkan di sekolah-sekolah vernakular adalah dalam bentuk kaligrafi.
Apabila Dong Zong menolak satu seni dalam bentuk tulisan, ini menunjukkan mereka mempunyai satu fikiran yang sangat kolot,” katanya.

Tambah Ellie, beliau turut mencadangkan agar kerajaan membubarkan sekolah vernakular dan membuka satu aliran sahaja demi keharmonian antara kaum.

Dong Zong membatalkan kongres membantah pelaksanaan tulisan jawi di sekolah yang dijadualkan berlangsung hari ini di Kolej New Era, Kajang selepas mendapat perintah mahkamah semalam.

Meskipun kongres membantah pelaksanaan jawi dibatalkan, Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) tetap tegas melaungkan amaran kepada Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong).

Tiada ulasan: