Selasa, 31 Disember 2019

Hanipa label pengkritiknya `pelampau agama’, `ultra Melayu’

Timbalan menteri undang-undang, Hanipa Maidin

PETALING JAYA: Hanipa Maidin hari ini mempertahankan pendiriannya berhubung perintah mahkamah yang menyekat perhimpunan kumpulan pendidikan Cina, Dong Zong untuk membincangkan pengenalan pengajaran Jawi di sekolah-sekolah vernakular, dengan melabelkan pihak-pihak yang mengkritiknya sebagai “pelampau agama” dan “ultra Melayu”.

Timbalan menteri undang-undang itu berkata beliau sedar ramai yang tidak berpuas hati dengannya kerana menyuarakan sokongan terhadap hak perlembagaan Dong Zong.

“Sesetengahnya bertindak melampau dengan memberikan saya gelaran-gelaran jahat,” katanya kepada FMT.

“Kebenaran perlu diberitahu, saya tidak marah kepada mereka, apatah lagi terganggu dengan gelaran jahat itu. Sebaliknya, saya melihat ianya sebagai sebahagian daripada demokrasi bertenaga di Malaysia baru.

“Saya menghargai hak mereka untuk mengutuk saya, sama seperti saya menghormati hak-hak penentang Jawi,” katanya.

Hanipa, tidak bersetuju dengan tindakan polis memohon perintah mahkamah supaya Dong Zong tidak meneruskan persidangan membantah pengenalan Jawi di sekolah vernakular, yang mana pendiriannya itu bertentangan dan mengundang kritikan banyak pihak.

“Saya mungkin tidak bersetuju dengan saudara mara kita di Dong Zong, tetapi saya menghargai hak asasi mereka untuk menyatakan pendapat terhadap sebarang dasar kerajaan,” katanya.

Beliau memberitahu FMT hari ini bahawa menjadi tugasnya untuk memastikan setiap rakyat Malaysia, tanpa mengira bangsa, agama atau ideologi politik, dilayan secara sama di bawah Perlembagaan Persekutuan.

“Tiada siapa yang lebih hebat daripada perlembagaan,” katanya.

“Sebagai anggota pentadbiran sekarang, saya terikat dengan undang-undang tertinggi negara ini untuk menjadi setia kepada semangatnya.”

Polis memohon perintah mahkamah itu bagi mengekalkan keselamatan dan ketenteraman awam, selepas menerima banyak laporan polis dari seluruh negara berhubung persidangan itu.

Pengkritik memberi amaran persidangan itu boleh mengundang reaksi daripada pertubuhan-pertubuhan Melayu.

Tiada ulasan: