Ahad, 15 Disember 2019

Daerah Rompin banjir

nurul atikah

 

Enam PPS dibuka bagi tempat 354 mangsa

KUANTAN – Rompin menjadi daerah pertama dilanda banjir di Pahang selepas enam pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di daerah itu hari ini, bagi menempatkan 354 mangsa.

Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melaporkan setakat 7 malam, semua mangsa terdiri daripada 92 keluarga yang menetap di enam kampung sekitar daerah tersebut.

“PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Pianggu mempunyai mangsa paling ramai iaitu 195 orang daripada 56 keluarga, diikuti PPS Kampung Setajam (95 mangsa, 24 keluarga) dan PPS Balai Raya Lintang dan Surau Kampung Perpat (29 mangsa, tiga keluarga).

“PPS lain yang dibuka ialah Dewan Telok Gading, Tanjung Gemok (14 mangsa, lima keluarga), PPS Balai Raya Kampung Janglau (14 mangsa, dua keluarga) dan PPS Balai Raya Kampung Sepayang (tujuh mangsa, dua keluarga),” menurut portal tersebut.

Sementara itu, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang, Kol (PA) Zainal Yusoff menerusi kenyataan medianya berkata, banjir di daerah itu berlaku ekoran hujan lebat sejak petang semalam, menyebabkan air sungai melimpah ke kawasan kediaman hari ini.

“Pihak Jawatankuasa Bencana Daerah telah memberi bantuan memindahkan mangsa banjir ke PPS dengan penglibatan pasukan keselamatan termasuk polis, bomba dan APM sementara pihak JKM memberikan bantuan di PPS.

“Bantuan segera yang diberikan ialah bekalan makanan basah, selimut, bantal dan pembahagi ruang selain turut melibatkan aktiviti untuk golongan kanak-kanak dan kaunselor kepada mangsa,” katanya.- Bernama


Tiada ulasan: