Khamis, 12 Disember 2019

Chin Peng: Rakyat perhati tindakan Peguam Negara

Oleh Athirah Huda Zalhe

 

Kredibiliti Tommy Thomas diragui kerana pernah wakili pengkhianat

BANGI – Sikap tidak telus dan berintegriti terhadap kes kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohamad Kassim menyebabkan rakyat semakin sangsi dengan kredibiliti Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas untuk menguruskan kes abu mayat bekas pemimpin komunis, Chin Peng.

Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Haji Aminuddin Yahaya berkata, rakyat pasti akan menjadi pemerhati rapat kepada tindak-tanduk Peguam Negara dalam menguruskan kes berkenaan, sebaik sahaja siasatan polis selesai dan laporan diserahkan ke jabatan itu.

Beliau bimbang pihak Tommy akan bertindak sama seperti kes Muhammad Adib, memandangkan Peguam Negara mempunyai kaitan dengan Chin Peng kerana pernah mewakili bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) itu satu ketika dahulu.

“Jadi, kita berharap Peguam Negara tidak mempermainkan ‘rule of law’ dan sekali lagi menjadi punca sistem perundangan negara tercemar akibat kepentingan peribadinya.

“Rakyat akan terus memerhati gerak-geri Tommy Thomas. Jika sudah lagi tiada kredibiliti sebagai Peguam Negara, lebih baik berundur,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Terdahulu, polis sudah merakam keterangan 10 individu, termasuk pengarang sebuah portal berita selepas menerima 11 laporan berhubung kes abu mayat Chin Peng dibawa pulang ke negara ini. 

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, pihaknya sedang mendapatkan laporan dari Kementerian Kesihatan, Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia serta Jabatan Pendaftaran Pertubuhan untuk siasatan lanjut.

“Kertas siasatan akan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk arahan susulan,” katanya.

Isu Chin Peng menjadi perhatian apabila kumpulan pengurusan abu mayatnya dilaporkan membawa masuk abu berkenaan dari Thailand dan ditabur di laut berhampiran lumut Perak serta hutan banjaran Titiwangsa.

Chin Peng pernah memfailkan saman terhadap kerajaan Malaysia bagi dirinya sendiri dan PKM bagi menuntut kerugian serta menghalang kerajaan Malaysia atau ejen-ejen daripada mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah mengenai mereka.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 30 September 2009 menolak saman ‘tidak mampan’ itu kerana permusuhan antara PKM dengan kerajaan adalah fakta sejarah dan tidak boleh dinafikan.

Chin Peng ketika itu diwakili peguam bela, Tommy.


Tiada ulasan: