Rabu, 4 Disember 2019

‘Buang DAP’ mampu kembalikan semula keyakinan rakyat

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

 

Mesti rehatkan pemimpin terbabit rasuah, skandal seks, ideologi sesat

BANGI – Meskipun sukar untuk membubarkan Parlimen dalam tempoh belum genap sepenggal, namun kerajaan Pakatan Harapan masih mempunyai cara lain untuk mengembalikan keyakinan rakyat.

Naib Presiden gerakan Islam utama, Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Prof Zainur Rashid Zainuddin berkata, pilihan lain untuk mendapatkan semula keyakinan rakyat majoriti adalah dengan mengeluarkan parti tamak haloba dan proksinya daripada kerajaan, seterusnya membina koalisi baharu.

“Selain itu, mereka yang terbabit dengan apa jua skandal seperti rasuah, skandal seks songsang, ideologi sesat seperti Syiah dan kumpulan pengganas mesti direhatkan sebelum kembali ke pangkal jalan,” katanya dalam satu kenyataan.

Prof Zainur Rashid berkata, walaupun langkah berkenaan kelihatan sukar dilaksanakan, tetapi ia tidak mustahil bagi kerajaan.

“Saya yakin bahawa majoriti rakyat Malaysia ternanti-nantikan perubahan besar yang lebih baik daripada kerajaan,” katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata, beliau akan berhati-hati dalam melakukan rombakan Kabinet kerana tidak lagi mahu membuat kesilapan.

Ia berikutan katanya, pilihan yang dibuat suatu ketika dulu adalah salah kerana individu berkenaan gagal menjalankan tanggungjawab.

“Saya sudah (pernah) lakukan rombakan Kabinet. Tukar menteri tak semestinya akan jadi lebih baik. Ia mungkin jadi lebih buruk. Jadi saya perlu berhati-hati dalam rombakan Kabinet.

“Saya pilih orang selalunya gagal. Orang buat tak kena. Jadi sebab itu saya berhati-hati untuk rombak Kabinet. Kita boleh buang semua tapi ada jaminankah semua akan bekerja dengan baik? Semua orang baru,” katanya.

Difahamkan, Dr Mahathir menimbang desakan agar rombakan Kabinet dibuat selepas kekalahan besar Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai pada 16 November lalu.


Tiada ulasan: