Isnin, 9 Disember 2019

Azmin: Saya sedia bincang, pengalaman setahun ini pahit, menyakitkan

B NANTHA KUMAR




Setelah berakhirnya Kongres Nasional PKR ke-20 yang memperlihatkan pergeseran dalaman parti itu, Mohamed Azmin Ali berkata beliau sedia ke arah kerjasama bagi menyatupadukan parti itu.

Timbalan presiden PKR itu berkata pengalaman selama setahun ini - iaitu apabila memburuknya konflik dalaman PKR selepas pemilihan pada September 2018 - sebagai sesuatu yang pahit dan menyakitkan.

"Saya bersedia. Saya mengajak semua pimpinan dapat bersama-sama dalam usaha untuk menyatupadukan parti.

"Pengalaman yang kita lalui selama setahun ini, memang pahit, pengalaman sangat menyakitkan untuk semua kita. Jadi, saya menggalakkan pemimpin dan anggota untuk tampil ke depan dan menyatupadukan parti.

"Jika ada usaha (seumpama itu) saya bersedia untuk bersama-sama," katanya ketika ditanya tentang kesediaannya untuk berbincang dengan Presiden PKR Anwar Ibrahim berkenaan pergeseran yang berlaku.
Beliau ditemui pemberita di Majlis Makan Malam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030. Acara itu menghimpunkan pemimpin dan anggota PKR yang menyokong Azmin, beberapa jam selepas sebahagian mereka tidak menghadiri hari terakhir kongres yang ditutup oleh presiden parti Anwar Ibrahim.

Ia diadakan di Hotel Rennaisance Kuala Lumpur, lokasi di mana Parti Keadilan Nasional - sebelum menjadi PKR - ditubuhkan pada 1999.

Kira-kira 2,000 hadirin menyertai acara yang dinamakan sebagai Majlis Makan Malam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 di hotel tersebut malam ini. Anggaran penganjur meletakkan angka kehadiran mencecah 5,000.

Antara pemimpin yang hadir ialah naib presiden Tian Chua dan Zuraida Kamaruddin, Ketua Wanita PKR Haniza Talha dan anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP) iaitu Rashid Hasnon, Sivarasa Rasiah, Kamaruddin Jaafar dan Amiruddin Shari.

'Tak mahu Anwar dipengaruhi'

Azmin berkata beliau tidak menyerang mana-mana pemimpin PKR dalam ucapan 'pedas' yang disampaikan dalam acara itu.

"Saya tidak menyerang mana-mana peribadi. Saya menjelaskan pada anggota apabila presiden parti berdepan dengan pelbagai bentuk ujian, saya sebagai timbalan mengeluarkan kenyataan dengan tuntas dengan segera mempertahankan presiden.

"Ini bukan saya buat-buat saya telah lalukan, setelah 20 tahun saya tetap (bersama) presiden dalam isu sensitif.

"Cuma saya tidak mahu beliau dipengaruhi oleh orang-orang yang tidak memahami perjuangan reformasi," katanya ketika ditanya tentang ucapannya itu.
Azmin dalam ucapannya antara lain berkata PKR tidak diasaskan oleh seorang individu atau satu keluarga sahaja, tetapi oleh rakyat.

Dalam ucapan itu, beliau juga membangkitkan keberadaannya dan beberapa pemimpin lain, antaranya Tian Chua dan Zuraida Kamaruddin, yang berada di dewan tersebut ketika parti itu ditubuhkan.

Ketika ditanya berkenaan risiko dipecat akibat ucapan tersebut, Azmin berkata isu tidak timbul.
"Ini satu usaha yang baik yang telah saya buktikan bersama dengan pimpinan, untuk memperkukuhkan parti dan sebelum kongres kita telah adakan pertemuan dan pertemuan tersebut amat baik.

"Namun, seperti yang kita jelaskan dalam kenyataan media, beberapa perkara penting itu telah dilanggar menyebabkan perkara ini amat dikesali.

"Jadi, saya berharap supaya semua perbincangan itu mestilah untuk tujuan memperkukuhkan parti," katanya lagi yang turut menafikan bahawa beliau akan meninggalkan PKR dan menubuhkan parti baru.


Tiada ulasan: