Jumaat, 15 November 2019

Wee, Najib dakwa Malaysiakini amal dwistandard

MALAYSIAKINI



Bekas Perdana Menteri Najib Razak sekali lagi menuduh Malaysiakini sebagai tidak adil terhadap calon BN bagi Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai, Wee Jeck Seng.

Dalam satu hantaran di Facebook hari ini, beliau mempersoalkan mengapa portal berita itu tidak mengubah tajuk berita mengenai kenyataan Jeck Seng berhubung tulisan Jawi walaupun calon MCA itu telah menyunting kenyataannya.

Najib membangkitkan insiden sebelum ini apabila Malaysiakini mengubah tajuk berita mengenai kenyataan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng pada 7 Mac lalu.

"Malaysiakini tegas untuk tidak mahu perbetulkan tajuk berita mereka yang berbunyi: 'Adakah kita nak Jawi? Tolak Dr M yang rasis, kata calon MCA' dan 'Tolak Mahathir jika anda tak mahu Jawi dan Himpunan Maruah Melayu - Calon MCA'.

"Sedangkan Wee Jek Seng pun telah “edit” dan perbetulkan posting FB asalnya (itupun posting FB dan bukan ceramah atau siaran media) akibat disalah terjemah dan diambil luar konteks oleh Malaysiakini.

"Tetapi Malaysiakini tidak ada masalah pula untuk menukar tajuk berita Guan Eng awal tahun ini di mana dia kata kerjasama Umno dengan PAS adalah satu pengisytiharan perang dengan kaum bukan Melayu walaupun ia merupakan siaran media rasmi dari Guan Eng.

"Lalu, Guan Eng menghantar satu lagi siaran media baru untuk menarik balik kenyataan lama dia," katanya. 

Malaysiakini menukar perkataan 'perang' kepada 'sasar' pada tajuk berhubung kenyataan Lim pada 7 Mac.

Dalam hantarannya, Najib membandingkan bahawa kenyataan asal Lim adalah daripada kenyataan akhbar manakala Wee pula hanya menulis hantaran di Facebook.

"Malaysiakini, jangan nampak bias atau berat sebelah sangat," katanya.

Sejak BN tewas pada PRU-14 tahun lalu, bekas perdana menteri itu berjaya meningkatkan profilnya di media sosial dan sering menggunakan artikel Malaysiakini untuk mengulas mengenai Pakatan Harapan (PH).

Rabu lalu Jeck Seng menyiarkan hantaran berbahasa Cina di Facebook beliau yang antara lain menyatakan "MCA menentang tulisan jawi."

Malaysiakini menterjemahkan hantaran itu ke Bahasa Melayu, yang menyebabkan pemimpin MCA itu terpalit kontroversi.

Beliau kemudian menyunting hantaran asal di Facebook dengan menyatakan "MCA menentang penambahan kurikulum khat Jawi dalam Bahasa Malaysia di sekolah vernakular Cina dan Tamil."
Facebook menyimpan rekod suntingan dan membolehkan pengguna menyemak semula hantaran yang asal.

Presiden MCA juga dakwa M'kini 'double standard'

Tanpa menjelaskan suntingan berkenaan, Presiden MCA Wee Ka Siong semalam menuduh Malaysiakini memetik kenyataan calon BN di Tanjung Piai "di luar konteks" dan mendakwa parti itu tidak pernah menentang tulisan Jawi.

Pada ceramah malam tadi, Najib juga menuduh Malaysiakini melaporkan perkara yang tidak benar dan pakar memutar belit (pakar spin).

Bagaimanapun kedua-duanya tidak menyebut bahawa hantaran tersebut telah disunting.

Hari ini, Ka Siong menyokong dakwaan Najib bahawa Malaysiakini mengamalkan "double standard" apabila membabitkan pemimpin PH dan BN.

Beliau mendakwa editorial Malaysiakini 'sepantas kilat' memperbetulkan tajuk berita mengenai kenyataan Guan Eng pada 7 Mac daripada perkataan 'perang' kepada 'sasar'.

"Tapi bila kena pada pemimpin BN, khususnya calon BN pada PRK Tanjung Piai iaitu Datuk Seri Wee Jeck Seng berhubung isu tulisan jawi yang dipetik luar konteks, editorial Malaysiakini seolah-olah memejamkan mata dan memekakkan telinga pula.

"Saya tidak berniat mahu bermusuhan dengan mana-mana pihak media termasuk Malaysiakini.
Tetapi sebagai pengamal media yang bebas dan beretika, adalah lebih baik Malaysiakini tidak memilih bulu dalam membuat laporan berita.

"Apa yang paling penting, jangan ada “double standard”. Jangan ada unsur nak sabotaj kerana PRK, "katanya di laman Facebook beliau.

LIHAT FB DI SINI



Tiada ulasan: