Ahad, 3 November 2019

Wee masih berpengaruh, ceramah MCA penuh

 

PRK TG PIAI | Kira-kira 300 orang hadir ke ceramah pertama anjuran MCA di bilik gerakan mereka di Pekan Nenas malam tadi.

Hadirin yang rata-ratanya penduduk Cina pertengahan umur menzahirkan sokongan mereka buat Wee Jeck Seng. Sepertiga daripada hadirin memakai baju t MCA.

Wee yang pernah menjadi anggota parlimen Tanjung Piai, pada pandangan mereka, merupakan pemimpin Cina yang berdedikasi dan pemurah.

"Susah nak tengok orang datang ceramah seramai ini [...]. Sebelum ni (PRU-14) DAP buruk-burukkan MCA, sebab itu kehadiran ceramah kecil," kata Tan Chai Huat, 56, kepada Malaysiakini.
Iklan
 
Dia yang mengundi PH dalam PRU lalu akan memilih MCA kali ini kerana kecewa dengan DAP yang menurutnya, telah dikawal oleh Bersatu. Itu katanya, akan memberi amaran kepada PH dan memberi isyarat kepada Umno bahawa mereka takkan berjaya memenangi pilihan raya tanpa sokongan bukan Melayu.

Phuan Ai Bon, 54, juga mengenang rekod cemerlang Wee ketika menjadi MP Tanjung Piai selama dua penggal.

Katanya, Wee mudah membantu penduduk dan rajin memberi sumbangan beras, minyak masak, dan bantuan lain setiap tiga bulan.

Perkara senada disuarakan Phua Siew Yok, 66, yang memberitahu: "Kalau kamu telefon dia, dia tak (dapat) jawab, dia mesti telefon balik punya".

Wee dalam ceramahnya, mengaku berasa sedih apabila kalah dalam PRU-14 lalu, tetapi tetap komited untuk pulang ke Tanjung Piai sebulan sekali.

Malah, katanya dia masih lagi menerima panggilan telefon dan aduan daripada penduduk.

"Sekarang saya bergantung pada anda semua untuk memenangi PRK ini. [...] Tolong berikan sokongan anda kepada saya!" Katanya disambut sorakan gamat daripada hadirin yang hadir.

PRK Tanjung Piai menyaksikan pertembungan enam penjuru, antara Wee (MCA), Karmaine Sardini (Bersatu), Badhrulhisham Abdul Aziz (Berjasa), Wendy Subramaniam (Gerakan), dan dua calon bebas, Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar.

Pada PRU14, Dr Mohd Farid Mohd Rafik dari Bersatu menang dengan margin 524 undi, mendapat 21,255 undi, mengalahkan Wee yang mendapat 20,731 undi.

Mohd Farid yang juga timbalan menteri di JPM meninggal dunia September lalu.

Kempen PRK Tanjung Piai bermula secara rasmi hari ini, manakala hari pembuangan undi ditetapkan pada 16 November.

Tiada ulasan: