Rabu, 13 November 2019

Warkah untuk tuan haji


Tuan Haji,

Perkara yang boleh berubah dalam politik ialah pendekatan. Matlamat politik - iaitu maslahah untuk masyarakat - dan prinsip politik - iaitu syura - tidak boleh berubah.

Tidak ada sesiapa pun yang berkata bahawa pendekatan politik tidak boleh berubah. Orang tidak pernah terlibat secara langsung dengan politik pun tidak akan berkata begitu.

Tuan Haji,

Masalahnya bukan orang lain tak faham pendekatan politik boleh berubah, tapi tuan haji sendiri yang minta orang lain supaya faham pun nampak macam tak berapa faham. Kadang-kadang.

Jangan tuan haji lupa label dan gelaran yang tuan haji beri kepada kami apabila kami keluar parti yang tuan haji ketuai. Semua jenis makhluk dalam hutan tuan haji tujukan kepada kami dalam ucapan tuan haji.

Tuan Haji,

Kenapa tuan haji buat begitu? Tuan haji tak fahamkah tentang pendekatan politik yang boleh berubah? Apabila kami keluar, maknanya kami mengubah pendekatan politik kami. Tapi matlamat dan prinsip politik tetap kami pegang teguh.

Kami tetap berpolitik untuk maslahah masyarakat dan kami tubuh parti baru dengan berpegang kepada prinsip syura.

Kami berpakat menubuhkan PH demi maslahah rakyat dengan menumbangkan Umno. Penubuhan PH tetap dengan syura walaupun kami tak pandai guna istilah Arab macam yang tuan haji guna.
Tuan Haji,

Tuan haji sebenarnya kadang-kadang tak berapa faham tentang politik, begitu juga dengan pengikut setia tuan haji. Justeru, kami dinerakakan, dijiratkan malah didoalaknatkan apabila kami tidak bersama tuan haji.

Semua hal itu berlaku hanya kerana kami berubah dalam pendekatan politik. Kalau tuan haji faham pendekatan politik boleh berubah, mengapa hal sebegitu berlaku?

Tuan Haji,

Tapi fatwa politik tuan haji yang berbeza antara di Cameron Highlands dan di Tanjung Piai nampaknya seolah-olah tuan haji faham pula bahawa pendekatan politik boleh berubah.

Tak mengapalah, saya bersangka baik bahawa tuan haji memang faham hal itu.

Cuma saya nak minta pada tuan haji. Bukan nak minta tuan haji jangan sokong MCA, sebab itu hak tuan haji. Perkara yang saya minta dengan tuan haji ialah, berhentilah memutar leher dalil mengikut selera politik tuan haji.

Maksud saya, janganlah tuan haji tafsir dalil sesedap hati tuan haji saja. Apabila menguntungkan tuan haji, dalil ditafsir jadi halal. Apabila tak untung, tuan haji tafsir menjadi haram.

Tuan Haji,

Jomlah kita berpolitik dengan matang dan sejahtera. Hentikan perangai sebelum ini seperti menerakakan dan mendoa laknatkan orang lain yang berbeza pandangan dengan parti tuan haji.

Setakat ini dulu warkah saya untuk kali ini. Terima kasih tuan haji...!


ZOLKHARNAIN ABIDIN ialah pengarah syariah Amanah dan Timbalan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia.


Tiada ulasan: