Jumaat, 15 November 2019

Video ajak tukar MB Perak: Itu masalah 'deme'- Saarani

 
 
Umno Perak berkata pihaknya enggan masuk campur dalam isu kedudukan menteri besar negeri itu, dan menyifatkannya sebagai masalah dalaman kerajaan Pakatan Harapan (PH) Perak.

Pengerusi Umno Perak Saarani Mohamad berkata pihaknya juga tidak tahu tentang kewujudan video yang mendakwa seorang adun DAP sedang memujuk tiga adun Umno untuk menukar Menteri Besar Ahmad Faizal Azumu.

"Kami tak tahu, kami tak terlibat. Itu masalah 'deme' (mereka) yang berlaku dalam kandang PH.

"Umno Perak tidak campur dan tak mahu campur," katanya yang juga ketua pembangkang DUN Perak, kepada Malaysiakini hari ini.

Semalam Malaysiakini melaporkan satu lagi video didakwa melibatkan pemimpin kanan negeri itu, yang muncul di internet.

Dalam rakaman kira-kira lima minit itu, lelaki mirip exco negeri daripada DAP Aziz Bari dikatakan sedang memujuk tiga adun Umno yang tidak dinamakan untuk menyokongnya menggantikan Ahmad Faizal sebagai menteri besar.

Bagaimanapun video itu tidak menunjukkan pihak lain - yang dikatakan adun Umno itu - yang mengasak Aziz berkaitan sokongan terhadapnya.

Tidak jelas juga bila dan di mana pertemuan itu dibuat.

Ketika ditanya sama ada terdapat Adun Umno yang bertemu Aziz, Saarani berkata beliau tidak tahu.

"Kami (Umno) tak tahu dan kita tidak terlibat (dengan usaha menukar menteri besar)," katanya.

Video itu antara lain merakam percakapan lelaki mirip Aziz itu yang berkata seorang lelaki yang dirujuk sebagai “Haji” daripada Bersatu memberitahunya yang mereka mahu Faizal dibuang dan digantikan dengan Aziz.

“Saya cakap OK-lah,” kata lelaki mirip Aziz itu dalam video berkenaan.

Ia merupakan video kedua melibatkan pemimpin PH Perak, selepas video Ahmad Faizal yang berkata beliau "seorang terkontang-kanting lawan dengan puak-puak DAP" tersebar di media sosial minggu lalu.


Tiada ulasan: