Sabtu, 30 November 2019

Undi ‘amaran’ MP PAS-Umno kerana PH ponteng

HARAKAHDAILY



KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen PAS dan Umno mengundi tidak bersetuju meluluskan anggaran perbelanjaan mengurus Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) adalah untuk memberi amaran.

Ahli Parlimen Rantau Panjang, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, mesej sebenar tindakan itu agar ia menjadi peringatan kepada semua anggota Parlimen PH supaya tidak mengabaikan tanggungjawab menghadiri Sidang Parlimen.

Bidas beliau, sekiranya Kerajaan PH benar-benar peka mengenai kebajikan di bawah KPWKM itu, sudah pasti perbahasan tersebut tidak hanya dihadiri oleh 32 Ahli Parlimen PH yang telah mengundi bersetuju pada malam tersebut.

“Menteri (Kabinet) tiada. Ahli Parlimen (PH) pun ramai yang tiada dalam Dewan. Menteri (KPWKM), Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pun tiada.

“Masa Pakatan Rakyat (sebagai Pembangkang) dulu pun pernah dibuat undi belah bagi secara spontan untuk menyedarkan pihak pemerintah,” ujarnya menerusi ciapan Twitter beliau.

Ianya sebagai reaksi terhadap tuduhan Timbalan Menteri KPWKM, Hannah Yeoh Tseow Suan bahawa Ahli Parlimen Pembangkang mengundi tidak setuju menunjukkan mereka menafikan hak kebajikan golongan memerlukan.

Pada Selasa, 26 November lalu, satu undian belah bagi dijalankan selepas perbahasan peringkat jawatankuasa bagi Belanjawan KPWKM di mana 32 Ahli Parlimen bersetuju, 28 tidak bersetuju dan dua berkecuali.

Ketika undian tersebut dibuat, 160 Ahli Parlimen tidak hadir di mana 107 daripada mereka adalah daripada PH, namun Hannah bertindak membuat tuduhan demikian kepada Ahli Parlimen Pembangkang. HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: