Jumaat, 15 November 2019

UMMAH sedia kemuka bukti harga barang turun selepas BMF

Oleh Fazleen Safina

 

KPDNHEP serlah sikap 'denial syndrome', tak akui kelemahan sendiri


BANGI – Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) menempelak kenyataan Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), apabila mendakwa kempen Buy Muslim First (BMF) tidak mengurangkan harga barang.

Presiden UMMAH, Haji Aminuddin Yahaya berkata, kenyataan Datuk Muez Abd Aziz telah menyerlahkan lagi sikap ‘denial syndrome’, yang tidak mahu mengaku kelemahan sendiri.

Bahkan, katanya, menolak kebenaran BMF mampu menurunkan harga barang, telah memperlihatkan sikap kerajaan yang hanya merugikan rakyat.

“Kerajaan harus lebih terbuka dan bersedia menerima hakikat kelemahan yang ada. Walaupun jutaan ringgit di habiskan namun harga tetap naik.

“Hakikatnya rakyat sedar dan mereka sendiri akui BMF mampu turunkan harga barang. UMMAH sedia berbincang dan mengemukakan bukti bahawa harga barang memang sudah turun,” katanya kepada Ismaweb.

Terdahulu, KPDNHEP menolak dakwaan bahawa kempen BMF yang dilancarkan UMMAH sejak April lalu telah dapat mengurangkan harga barang.

Muez dilaporkan berkata, dakwaan berkenaan tidak berasas kerana harga barang dan produk adalah berdasarkan kepada tawaran oleh pengilang, pembekal serta peruncit.

Dakwanya, pengilang, pembekal dan peruncit memberikan diskaun mengikut tempoh tertentu di pasar raya atau premis perniagaan, menyebabkan sesuatu produk yang ditawarkan itu menjadi lebih murah.

“Ia juga bergantung kepada inisiatif dan kempen jualan oleh pihak peruncit dalam bersaing sesama mereka untuk menarik perhatian pengguna,” katanya.

Mengulas perkara itu, Aminuddin yang juga Presiden gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) berkata, produk minyak masak keluaran muslim sememangnya telah lama dipromosikan.

Namun, katanya, sejak Ogos 2019 sehingga hari ini, produk minyak masak buatan bukan muslim telah menjadi saingan melalui promosi selama berbulan-bulan akibat tidak laku.

“Itulah yang dikatakan turun harga barang kerana kenapa sebelum gelombang BMF ini, tidak sedikit pun harga diturunkan atau dipromosikan, tetapi selepas fenomena BMF, boleh pula promosi berbulan-bulan?” soalnya.

UMMAH dengan kerjasama Koperasi Al-Hilal Berhad (Kohilal) dan Abata adalah penggerak utama dalam Kempen Membeli Produk Muslim kepada masyarakat Islam di negara ini.

Kempen ini bertujuan membantu meningkatkan pendapatan peniaga Islam dan memberi alternatif lain kepada masyarakat Islam



Tiada ulasan: