Isnin, 4 November 2019

Tg Piai: Hadiah, jamu makan tak boleh ketika kempen pilihan raya

tyrazalhe 

 

Calon, parti diingatkan tidak salah guna aset kerajaan untuk raih undi

BANGI – Sebarang aktiviti kempen seperti jamuan makanan dan minuman serta pemberian hadiah dalam bentuk barangan atau wang secara rasuah yang boleh mempengaruhi pengundi, melanggar peruntukan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Sehubungan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengingatkan pihak terbabit berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai supaya sentiasa mematuhi undang-undang, peraturan dan etika kempen sehingga 15 November ini.

Pengerusi SPR, Datuk Azhar Azizan Harun berkata, calon dan pihak yang terbabit juga hendaklah berkempen secara berhemah dan mengikut etika kempen yang menjamin keharmonian masyarakat.

“SPR juga ingin memperingatkan calon ataupun parti yang diwakili calon supaya tidak menyalahgunakan aset kerajaan ataupun menyalahgunakan kuasa kerajaan untuk meraih undi.

“Perlu juga diingatkan bahawa apa-apa tindakan ataupun pernyataan yang menganggu mana-mana pengundi daripada menjalankan hak pemilihannya secara bebas juga merupakan satu kesalahan di bawah Akta yang sama,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, ia termasuklah tindakan atau pernyataan yang cenderung untuk mengembangkan perasaan jahat, permusuhan kaum atau ancaman menggunakan kekerasan atau halangan ke atas pengundi.

“Semua pihak juga diingatkan sebarang bentuk kempen atau aktiviti merayu undi adalah dilarang pada hari mengundi. Ini termasuklah melalui saluran media sosial.

“Kesemua parti adalah dilarang untuk membuka, membina atau menyelenggarakan pejabat atau barung ketika hari mengundi,” katanya.

Justeru, mana-mana pihak yang mempunyai maklumat atau keterangan mengenai sebarang pelanggaran undang-undang oleh pihak yang terbabit dalam aktiviti berkempen, supaya melaporkan perkara berkenaan kepada pihak berkuasa, katanya.

“Apa-apa perbuatan membabitkan amalan rasuah haruslah dilaporkan kepada SPRM. Manakala, bagi kesalahan-kesalahan lain di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya atau Kanun Keseksaan hendaklah dilaporkan kepada PDRM.

“SPR berharap semua pihak mematuhi undang-undang, peraturan dan etika kempen pilihan raya di PRK tersebut bagi memastikan kelancaran proses pilihan raya dan tidak menggugat ketenteraman dan keselamatan awam,” katanya.


Tiada ulasan: