Khamis, 7 November 2019

Siapa pengundi Berjasa?

Eqwan Roslan

 

Kemenangan Berjasa pasti untungkan Muafakat Nasional

BERJASA memperoleh lebih 30,000 undi pada PRU13. Jumlah ini bukanlah jumlah orang yang masuk untuk memecahkan undi. Berjasa, seperti parti lain telah menjalankan kempen pilihan raya dengan bersungguh-sungguh ketika itu.

Pembabitan Berjasa telah menimbulkan kemarahan Pakatan Rakyat (PR), kerana mereka sangka pengundi Berjasa akan mengambil bilangan undi Pakatan Rakyat. Mood ketika itu adalah jatuhkan BN dan siapa yang tidak bersama untuk jatuhkan BN adalah penyokong BN.

Usai PRU13, saya semak semula, benarkah pembabitan Berjasa telah merugikan Pakatan Rakyat? Disebabkan Berjasa bertanding di Parlimen, saya semak beza undi yang diterima setiap parti di Parlimen dan DUN.

Untuk Parlimen Selayang, didapati undi yang diterima oleh BN berkurang hampir 3000 berbanding jumlah undi yang diterima di DUN dan PR berkurang lebih 400. Ini bermakna lebih banyak pengundi BN di DUN beralih kepada Berjasa ketika mengundi untuk Parlimen.

Di Seremban, Berjasa meraih 6,866 undi dan kedua-dua parti lawan, BN dan PR mengalami kehilangan undi yang besar dan hampir sama banyak. Ada kawasan yang Pakatan Rakyat lebih terkesan dan ada kawasan di mana BN lebih terkesan.

Ini bermakna dakwaan Berjasa merugikan PR tidak tepat ketika itu. Ini juga bermakna pengundi Berjasa tidak datang daripada mana-mana satu parti sahaja, tapi datang daripada pengundi di kedua-dua belah pihak yang bersetuju dengan agenda yang dibawa Berjasa dan tidak sekadar setia kepada parti.

Kali ini di Tanjung Piai, terbalik berbanding situasi PRU13, kelihatan BN lebih marah terhadap Berjasa kerana mereka menganggap Berjasa akan mengambil undi mereka. Sangkaan mereka ini mungkin tidak benar.

PRU13 berlaku dalam keadaan rakyat begitu marah terhadap BN dan rakyat masih belum mengenali Pakatan Rakyat kerana mereka belum berkuasa. Dalam keadaan itu, Berjasa berjaya meraih ribuan undi.

Berbeza dengan situasi Berjasa dalam PRU13, dalam PRU tanjung Piai:

1) Rakyat telah mengenali Pakatan Harapan (dahulunya Pakatan Rakyat) setelah mereka berkuasa. Maka undi PH mungkin beralih.

2) Terdapat protes terhadap keputusan Muafakat Nasional untuk melantik calon MCA (lebih-lebih lagi ada rekod peribadi menentang Syariah). Maka undi BN mungkin beralih.

3) Calon yang dihantar Berjasa adalah yang paling berwibawa dan berkelayakan.

Kehadiran Berjasa memberi alternatif kepada calon-calon yang tidak memenuhi hasrat pengundi.

Berdasarkan kajian lapangan GPS juga, jika diletakkan calon MCA, 43 peratus Melayu tidak pasti untuk mengundi siapa, 24 peratus akan mengundi BN dan 33 peratus akan mengundi PH di Tg Piai. 43 peratus ini boleh mengundi Berjasa dan mungkin tambahan peratusan undi daripada BN dan PH.

Mana-mana parti yang menang sekali pun, kebarangkalian satu kerusi akan mengubah kerajaan mungkin tidak tinggi tapi satu kerusi ini dapat memberi pelbagai mesej. Tambahan satu lagi Calon Muslim Berwibawa di dalam Parlimen memberi peluang untuk menyebelahi agenda Islam tanpa terikat dengan pihak yang bermusuhan dengan agenda Islam yang syumul.

Undi Melayu sudah sememangnya terpecah antara dua pakatan yang terdapat di dalamnya parti-parti yang menentang agenda memartabatkan Islam. Berjasa berfungsi sebagai parti yang menyatukan semula undi Melayu yang terpecah sama ada akibat menolak rasuah atau menolak dominasi parti biadab.

Kemenangan Berjasa akan menguntungkan Muafakat Nasional. Ini kerana terdapat keselarian objektif dalam menentang sebuah pakatan yang kelihatan didominasi DAP. Kemenangan Berjasa menguntungkan Muafakat Nasional tanpa beban yang dibawa MCA.
Kedaulatan Islam adalah kesejahteraan untuk semua.

*Eqwan Roslan, Rakyat marhaen


Tiada ulasan: