Selasa, 26 November 2019

Setengah jam jerit, menangis takut berkhatan

Gelagat seorang anak-kanak pada program Berkhatan Perdana anjuran Yayasan Islam Darul Ehsan di Masjid Tengku Ampuan Jemaah Bukit Jelutong, Shah Alam. 26 November 2019. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI


SHAH ALAM: “Adik takut, sakit…tolong.! Tak nak sunat,” jerit seorang kanak-kanak yang menyertai Program Berkhatan Perdana 2019 di Masjid Tengku Ampuan Jemaah Bukit Jelutong, di sini, hari ini.

Kerenah lucu Fahmi Haikal Faizul, 8, antara 80 peserta yang paling mencuri perhatian ramai pada program anjuran Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) dengan kerjasama Lembaga Zakat Selangor (LZS), Management and Science University, Medical Centre (MSU MC).

Situasi itu menyebabkan cubaan pegawai perubatan untuk membius kanak-kanak berkenaan terpaksa dihentikan seketika gara-gara dia terlalu takut.
Faizul Abdul
Bagaimanapun, selepas setengah jam, bapanya, Faizul Abdul, 41, berjaya mengawal keadaan dengan menenangkan anak ketiga daripada empat beradik itu daripada terus menangis.

Faizul ketika ditemui SelangorKini berkata, anaknya mengalami masalah penyakit kulit ekoran gigitan kutu hama ‘Sarcoptes Scabies’ atau kudis buta sejak kecil.

“Ketika dia alami masalah kudis buta, mahu buang air kecil pun sakit, apatah lagi kalau berkhatan dan saya boleh rasa peritnya macam mana. Sebab itu, doktor ada menyarankan supaya dia berkhatan pada usia awal.

“Dia nampak ketakutan sebelum berkhatan dan proses (berkhatan) mengambil sedikit masa berbanding kanak-kanak lain.

“Jadi, kita kena bagi dia bersabar, beri keyakinan terhadapnya dan pegang kuat-kuat kalau tidak dia akan meronta-ronta,” katanya menghela nafas legas selepas anaknya itu berjaya menjalani proses berkhatan.

Terdahulu, program julung kali itu disempurnakan pembantu EXCO Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri Selangor merangkap Ahli Dewan Negeri Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni.

Seramai 80 kanak-kanak terdiri daripada anak yatim dan asnaf berusia lingkungan tujuh hingga 15 tahun menyertai program berkenaan yang dibiayai sepenuhnya YIDE serta LZS.

Sebelum dikhatankan, kesemua kanak-kanak terbabit dimandikan beramai-ramai dengan pancutan air oleh bomba bagi mengurangkan rasa cemas dan gementar mereka.

Tiada ulasan: