Khamis, 28 November 2019

‘Saya tak boleh lupa kejadian Chin Peng bunuh 40 Orang Asli’

Kumara Sabapatty
MGF27112019_PARLIMEN-MALAYSIA36
Ahli Parlimen Cameron Highlands, Ramli Mohd Nor hadir pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL
 

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Cameron Highlands, Ramli Mohd. Noor rasa sebak mengenangkan penyeksaan yang dialami Orang Asli pada zaman komunis.

Wakil rakyat Barisan Nasional (BN) yang juga pesara polis berpangkat Asisten Komisioner itu merupakan wakil rakyat Orang Asli itu tidak dapat menahan kesedihan semasa sesi perbahasan penggulungan kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2020 bagi Kementerian Dalam Negeri di Dewan Rakyat petang ini.

Ramli juga memohon penjelasan daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagaimana abu mayat Setiausaha Parti Komunis Malaya, mendiang Chin Peng boleh ‘dikembalikan’ ke negara ini.

“Adakah kerajaan berpendirian tegas untuk tidak membenarkannya selepas mengambilkira segala kerosakan dan kehilangan nyawa yang disebabkan oleh ancaman kumpulan itu semasa darurat di Tanah Melayu,” ujarnya.

Katanya, apa yang berlaku telah mengguris hati ramai anggota pasukan keselamatan termasuk apa kehilangan nyawa Orang Asli di Cameron Highlands ‘di tangan’ Chin Peng.

“Untuk makluman dewan, orang tua saya, Datuk Mohammad Nor Abdullah semasa berumur 10 tahun adalah water boy kepada Chin Peng, Rashid Maidin dan Shamsiah Fakeh.

“Dalam satu kejadian anggota-anggota komunis di Cameron Highlands telah menahan orang-orang kampung yang dalam perjalanan untuk barter trade sebelum menuduh orang-orang kami Orang Asli ini sebagai ejen kepada British dan komunis telah susun mereka ini dan menembak mati 40 lebih orang Orang Asli.

“Tapi dengan izin Allah, seorang telah terlepas dan berita itu telah sampai ke telinga orang tua saya. Sejak daripada masa itu orang tua saya telah ‘berpisah’ dari Chin Peng,’ katanya sebak.

Oleh demikian, Ramli mahu KDN menjelaskan kenapa musuh negara boleh dibiar kembali dalam bentuk abu mayat ke dalam negara ini.

“Saya rasa bersedih sangat kami berjuang bermati-matian untuk menegakkan negara ini tapi rupanya ini balasan negara. Saya pohon menteri KDN jelaskan kepada masyarakat Orang Asli kenapa ini berlaku..saya rasa sebak..biarlah menteri menjawab,” katanya dan kemudiannya ditenangkan Ahli Parlimen Paya Besar, Mohd. Shahar Abdullah.- MalaysiaGazette

Tiada ulasan: