Isnin, 18 November 2019

'Saya dah jangka, tapi...' - Tun M terkejut PH kalah majoriti besar di Tanjung Piai

Afiezy Azaman, Astro Awani
'Saya dah jangka, tapi...' - Tun M terkejut PH kalah majoriti besar di Tanjung Piai
Dr Mahathir tidak menjangkakan kekalahan dengan majoriti yang begitu besar iaitu sebanyak 15,086 undi kepada parti lawan. -Gambar fail
 
 
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui telah menjangkakan kekalahan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai Sabtu lalu.

Namun beliau tidak menjangkakan kekalahan dengan majoriti yang begitu besar iaitu sebanyak 15,086 undi kepada parti lawan.

“Saya ambil maklum keputusan PRK Tanjung Piai yang diadakan baru-baru ini. Saya terima keputusan yang dibuat oleh rakyat Tanjung Piai walaupun sebelum ini sudah menjangkakan bahawa majoriti akan beralih arah ke pihak lawan.

“Jangkaan saya majoriti kekalahan ini tidak lebih daripada 2,000 undi, namun keputusan rasmi majoriti sebanyak 15,086 undi,” katanya dalam satu kenyataan, pada Isnin.
 
Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Langkawi itu berkata satu perbincangan secara terperinci, serius dan jujur di semua peringkat akan dibuat bagi mengenal pasti apakah punca sebenar kekalahan pada PRK ini.

Beliau turut berterima kasih kepada mereka yang telah bekerja keras sepanjang pilihan raya kecil ini.

Pada PRK itu, calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng menang dengan majoriti 15,086 undi menewaskan pencabarnya iaitu calon PH, Karmaine Saidini yang memperoleh 10,380 undi.

Ketua MCA Bahagian Tanjung Piai itu memperoleh 25,466 undi daripada 128 saluran undi sehingga penjumlahan tamat

Dengan kemenangan itu, Jeck Seng kini Ahli Parlimen Tanjung Piai sekali gus merampas kembali jawatan yang pernah disandang selama dua penggal sebelum ini.

Seramai 52,471 pengundi berdaftar melaksanakan tanggungjawab membuang undi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai pada Sabtu.

PRK Parlimen Tanjung Piai menyaksikan pertandingan enam penjuru susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Dr Md Farid Md Rafik akibat komplikasi jantung 21 September
lalu.

Tiada ulasan: