Ahad, 10 November 2019

Polis terima 24 aduan berkait PRK Tg Piai

Bernama
Ketua Polis Johor Kamarudin Md Din berkata, setakat ini hanya 
tiga kertas siasatan dibuka ke atas 24 aduan yang diterima. 
(Gambar Bernama)
 
JOHOR BAHRU: Polis setakat ini menerima 24 laporan berkaitan pilihan raya kecil Parlimen Tanjung Piai.

Ketua Polis Johor, Mohd Kamarudin Md Din bagaimanapun berkata, sehingga kini hanya tiga yang dibuka kertas siasatan.

Beliau berkata, antara kes yang dibuka kertas siasatan, termasuk kes bendera parti yang dilaporkan dicabut di sekitar Kampung Baru Permas dan kes berkaitan kenyataan Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi mengenai kes basikal lajak, katanya kepada pemberita dalam sidang media sempena Majlis Perhimpunan Bulanan PDRM Johor di sini, hari ini.

Beliau bagaimanapun berkata, dua kes daripadanya dirujuk kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Peguam Negara.

Dalam perkembangan sama, Mohd Kamarudin berkata, pihaknya menjangkakan kempen pilihan raya menjadi semakin agresif menjelang hari pengundian pada 16 November nanti.

“Kita tidak mahu kempen seperti melakukan provokasi antara satu sama lain yang boleh mengancam ketenteraman dan keselamatan awam.

Kita harapkan proses kempen yang menggunakan kenderaan mendapatkan permit daripada pihak polis supaya kerja-kerja pemantauan mudah dilakukan,” katanya lagi.

Beliau dalam pada itu turut berkata, polis menyediakan 3,050 anggota yang akan bertugas sekiranya berlaku bencana banjir.

Tiada ulasan: