Ahad, 3 November 2019

PH ada dua minggu jadikan pengundi Tg Piai ‘paling celik media’, kata Kit Siang

Penasihat DAP Lim Kit Siang.
 
PETALING JAYA: Penasihat DAP Lim Kit Siang berkata, Pakatan Harapan (PH) mempunyai masa dua minggu untuk menjadikan pengundi di kawasan Parlimen Tanjung Piai kumpulan “paling celik media” di negara ini yang mampu mengenal pasti pembohongan, berita palsu dan ucapan kebencian di media sosial dan aplikasi WhatsApp.

Dalam satu kenyataan hari ini, ahli Parlimen Iskandar Puteri itu mendakwa, pengundi di kawasan terbabit kini dihujani “terlampau banyak” pembohongan, berita palsu dan ucapan kebencian.

Katanya, ini termasuklah dakwaan bahawa PH gagal menunaikan janji dalam manifesto pilihan rayanya sejak 18 bulan berkuasa.

“Jika dakwaan tersebut, yang boleh dipatahkan dengan mudah sebagai sesuatu yang tidak benar, tersebar luas semasa pilihan raya kecil (PRK) Tanjung Piai yang sedang berjalan, maka sukar dibayangkan betapa banyaknya pembohongan, berita palsu dan ucapan kebencian yang boleh disebarkan dalam PRK itu.”

Beliau berkata, satu lagi tugas PH dalam tempoh berkempen selama dua minggu itu ialah untuk meyakinkan pengundi bahawa pertembungan sebenar ialah antara PH dengan Muafakat Nasional PAS-Umno dan wawasan masing-masing mengenai masa depan Malaysia.

“Keputusan PRK Tanjung Piai pada 16 Nov sangat bergantung kepada kejayaan pemimpin PH melaksanakan dua tugas besar ini.”

PRK Tanjung Piai diadakan berikutan kematian penyandangnya Dr Md Farid Md Rafik yang mewakili PPBM pada 21 Sept lepas kerana komplikasi jantung.

Ia bakal menyaksikan pertandingan enam penjuru antara calon PH, Karmaine Sardini, calon BN Wee Jeck Seng, Wendy Subramaniam (Gerakan), Badrulhisham Abdul Aziz (Berjasa) dan dua calon Bebas, Ang Uan Lock dan Faridah Aryani Abdul Ghaffar.

Tiada ulasan: