Isnin, 18 November 2019

Pergelangan kaki kanan ketua Dewan Ulama PAS patah dalam kemalangan di Tapah

 
 

Anggota Parlimen Pasir Puteh Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh patah pergelangan kaki kanan selepas terlibat dalam satu kemalangan di KM 350 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan, dekat Tapah, hari ini.

Ketua Polis Ketua Polis Daerah Tapah Supt Wan Azharuddin Wan Ismail berkata dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 tengah hari itu, kereta Mercedes Benz yang dinaikinya dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas merempuh besi penghadang jalan.

Beliau berkata kemalangan itu melibatkan dua mangsa iaitu Nik Muhammad Zawawi bersama seorang lagi lelaki yang memandu kenderaan terbabit, dikenali sebagai Mohamad Zuraihan Abdul Wahad, 28.

Bagaimanapun, Nik Muhammad Zawawi, 52, yang duduk di bahagian penumpang telah dibawa ke Hospital Slim River untuk menerima rawatan lanjutan.

Wan Azharuddin berkata difahamkan Nik Muhammad Zawawi yang juga ketua Dewan Ulama PAS itu dalam perjalanan dari Perlis menuju ke Parlimen, di ibu negara.

"Kenderaan yang terbabit kemalangan itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah untuk pemeriksaan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) dan kes berkenaan diklasifikasikan mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Terdahulu jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak memaklumkan pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan itu sebelum sepasukan Balai Bomba dan Penyelamat Bidor bergegas ke lokasi kejadian.-Bernama


Tiada ulasan: