Rabu, 6 November 2019

‘Pengurangan tol, subsidi bahan api tidak akan bantu B40'


Ahli ekonomi Muhammed Abdul Khalid menasihatkan kerajaan supaya tidak membelanjakan wang awam untuk mengurangkan atau menghapuskan tol dan memberi subsidi petrol kerana beliau percaya inisiatif itu tidak akan memberi faedah kepada semua dalam kumpulan B40.

Baginya, wang negara itu perlu diperuntukkan untuk menyediakan dan meningkatkan pengangkutan awam di kawasan luar bandar, kerana ini akan membantu lebih ramai rakyat miskin.

Muhammed yang juga adalah penasihat ekonomi kepada perdana menteri berkata demikian semasa menjadi ahli panel forum "Strategi Tidak Ada Yang Akan Ketinggalan" hari ini.

Bagi membuktikan pandangannya itu, beliau berkata lebih daripada satu pertiga daripada isi rumah B40 tidak memiliki satu kenderaan apa pun.

"Bagi subsidi bahan api yang akan kita berikan kepada B40, satu pertiga daripada mereka dalam kumpulan B40 itu tidak mempunyai sebarang kereta mahupun motosikal [...] jadi mereka tidak akan mendapat sebarang manfaat.

"Begitu juga, saya tidak setuju, mengambil alih tol di kawasan bandar.
"(Ini) juga tidak akan memberi manfaat kepada satu pertiga kumpulan B40," kata Khalid emasa forum yang diadakan sempena Sidang Kemuncak Sasaran Pembangunan Mampan Malaysia (SDG) 2019 di Kuala Lumpur, hari ini.

Menurut kajian dan tinjauan Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah 2016, 33.2 peratus (922,557) daripada isi rumah 2.78 juta B40 tidak memiliki kereta manakala 30.1 peratus (836,416) tidak memiliki motosikal.



Tiada ulasan: