Sabtu, 9 November 2019

Pemuda MIC hairan Zuraida rasmi kedai pajak gadai 'drive-thru'

MALAYSIAKINI
 
 
 
Pemuda MIC melahirkan rasa hairan terhadap sokongan diberikan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamarudin terhadap sebuah syarikat pajak gadai berkonsepkan pandu lalu (Drive Through).

Exconya, Arvind Krishnan berkata, ini selepas tular di media sosial gambar-gambar sekitar majlis pembukaan kedai berkenaan yang dirasmikan oleh Zuraida.

Katanya, syarikat itu dikatakan menjadi perintis konsep “drive thru” dalam industri pajak kedai tempatan dan menerima sokongan penuh menteri berkenaan.

"Perkembangan industri pajak gadai secara drastik hanya membuka peluang untuk lebih banyak rakyat, khususnya dari kumpulan “Bottom 40” dan “Middle 40” untuk terus terjemurus dalam gejala pajak gadai akibat tekanan ekonomi yang semakin meningkat," kata Arvind dalam satu kenyataan.

Kata Arvind berdasarkan statistik rasmi dari portal Data.Gov.My, terdapat barangan bernilai kira-kira RM1,261,891.70 yang dibiarkan di bawah penguasaan broker pajak gadai tanpa tuntutan bermula dari tahun 2013 hingga 2017.

"Malah seperti mana yang kita semua tahu dan sedar, industri pajak gadai mempunyai pelbagai kelemahan yang jelas bertujuan untuk memanipulasi dan membebankan pengguna.

"Antaranya adalah kadar bunga dan lain-lain caj yang boleh mencapai 24 peratus setahun, kaedah penilaian dan ukuran yang masih belum jelas dan monopoli broker terhadap barang-barang yang tidak dituntut.

"Dalam keadaan sebegini, adalah sangat tidak wajar bagi seseorang yang bergelar menteri untuk memberi sokongan secara terbuka terhadap sebuah industri yang meraih keuntungan dari kesusahan rakyat biasa," katanya.

Sehubungan itu beliau meminta menteri berkenaan agar fokus kepada usaha lebih penting seperti pembinaan lebih banyak rumah mampu milik selaras dengan janji Pakatan Harapan atau berusaha menurunkan harga rumah mampu milik sedia ada.

"Saya harap YB Puan Hajah Zuraida Kamaruddin dapat memberi penjelasan kepada masyarakat umum tentang penglibatan dan sokongan beliau terhadap industri pajak gadai, sehinggakan beliau sanggup turun sendiri merasmikan premis tersebut," katanya.


Tiada ulasan: