Selasa, 5 November 2019

Pemuda BN Johor lapor polis ucapan ‘rasis’ menteri

Pemimpin Pemuda BN Johor menunjukkan laporan polis yang 
dibuat di IPD Pontian hari ini. Dari kanan ialah Ling Tian Soon, 
Syahrulzaman Ibrahim, Mohd Hairi Mohd Shah, Ahmad Naufal 
Mahfuz dan A Logeswaran.

PONTIAN: Pemuda Barisan Nasional (BN) Johor membuat laporan polis terhadap kenyataan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub ketika berkempen di Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai yang didakwa berbaur perkauman.

Ketua Pemuda Umno Bahagian Tanjung Piai, Syahrulzaman Ibrahim menggesa polis menyiasat Salahuddin susulan ucapannya dalam satu perjumpaan tertutup di sebuah sekolah semalam yang berkata, Malaysia akan menjadi huru-hara jika BN kembali berkuasa, dengan tembakan dan kebakaran berlaku di merata tempat.

“Kata-kata beliau berbaur perkauman, menghasut kebencian dan boleh ancam kestabilan kaum di negara ini,” katanya selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian hari ini.

Syahrulzaman berkata, kenyataan itu melanggar Seksyen 4A (1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 kerana cuba mengembangkan perasaan jahat atau permusuhan.

“Kita mohon kerajaan dan pihak berkuasa ambil tindakan terhadap kenyataan berbaur hasutan,” katanya sambil menambah pihaknya akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya hari ini.

Sementara itu, Ketua Pemuda PAS Johor, Ahmad Naufal Mahfuz berkata, beliau terguris hati dengan kenyataan Salahuddin.

“Apa kaitan dengan PAS sampai boleh jadi huru-hara. Padahal ia satu muafakat. Kita boleh kawan dengan Cina dan India, tidak ada masalah.”

Ketua Pemuda MCA Johor, Ling Tian Soon turut menggesa polis menyiasat Salahuddin yang didakwa membuat kenyataan berbaur hasutan.

“Kenyataan ini tak adil untuk BN atau PAS. Siasat apa niat mereka,” katanya.

Ketua Pemuda MIC Bahagian Tanjung Piai, A Logeswaran berharap Salahuddin tidak akan mengulangi tindakan sama lagi.

Tiada ulasan: