Jumaat, 15 November 2019

Pemimpin AMK terus bertelagah, kali ini isu kehadiran mesyuarat

MALAYSIAKINI 

 



Kontroversi berhubung isu perasmian Kongres Tahunan Pemuda PKR (AMK) 2019 terus berlanjutan apabila Naib Ketua Pemuda PKR, Syed Badli Shah Syed Osman pula mendakwa Muhammad Hilman Idham gagal menghadiri mesyuarat bagi memberi penjelasan.

Jelas Syed Badli, Hilman selaku timbalan ketua pemuda PKR yang juga setiausaha politik kepada Mohamed Azmin Ali sepatutnya mengakui kesilapannya.

"Hilman sepatutnya bermuhasabah diri dan mengakui kesilapan bahawa pihak timbalan presiden gagal menjawab secara bertulis jemputan Perasmian Kongres AMK sehingga tarikh 20 Oktober 2019.

"Tempoh 39 hari disia-siakan tanpa sebarang jawapan rasmi sehingga tarikh mesyuarat Majlis Pimpinan AMK pada bulan lalu.

"Malah Hilman sendiri gagal menghadiri mesyuarat tersebut untuk memberikan penjelasan sedangkan beliau berkapasiti timbalan ketua pemuda PKR merangkap setiausaha politik kepada timbalan presiden," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kelmarin, Ketua AMK Akmal Nasrullah Mohd Nasir dilaporkan berkata keputusan untuk menjemput Wan Azizah Wan Ismail sebagai perasmi Kongres Nasional AMK di Melaka 6 Disember ini dibuat pada mesyuarat pimpinan pusat sayap itu pada 20 Oktober lepas.

Akmal berkata hasil mesyuarat itu telah dimaklumkan secara rasmi kepada Biro Politik Pusat yang dipengerusikan Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Semalam, kontroversi pembatalan surat jemputan kepada Azmin itu diheret ke isu teknikal.

Syed Badli mendakwa pihak Azmin tidak membalas surat jemputan selepas lebih sebulan dihantar manakala Hilma menyifatkannya sebagai “pembohong”.

Azmin pula mendakwa wujud tangan ghaib di belakang keputusan membatalkan jemputan beliau untuk merasmikan Kongres AMK.

Sementara itu, Syed Badli berkata Hilman perlu memberi penjelasan kepada umum kenapa beliau gagal menghadiri mesyuarat tersebut tanpa sebab yang munasabah.

Malah katanya, bukan kali pertama Hilman gagal hadir ke mesyuarat Majis Pimpinan Pusat (MPP) AMK.

"Satu keputusan perlu diambil oleh MPP AMK untuk menjemput perasmi lain kerana pihak timbalan presiden gagal memberikan maklum balas.

"Menuding jari dan mengheret parti kepada kancah pertelingkahan di media adalah tindakan yang tidak bertanggungjawab.

"Sedangkan semua permasalahan ini tidak perlu timbul jika Hilman hadir ke mesyuarat tersebut," jelasnya.

Sibuk mengalakah orang bertanding, sindir Hilman

Sementara itu, Hilman tidak menjawab secara langsung tuduhan itu tetapi menyindir Syed Badli sibuk membuat kenyataan media.

"Saya tak gagal. Saya menang pemilihan, yang gagal itu dia, takut bertanding pemilihan.

"Tapi sibuk keluar kenyataan, mengalahkan orang yang bertanding dan menang pemilihan. Cermin diri dulu," katanya kepada Malaysiakini.


Tiada ulasan: