Rabu, 13 November 2019

Pembangkang usul cabar tindakan SPR di Parlimen

Muhammad Azizul Osman
MGF31102019_SIDANG-PARLIMEN51
Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Ekoran tidak berpuas hati dengan tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang menggesa agar parti-parti politik mendapatkan permit bagi mengadakan kempen rumah ke rumah pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, pembangkang hari ini akan mengutarakan satu usul berkenaan isu itu esok.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, usul berkenaan telah dihantar ke pejabat Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof, dan menunggu kelulusan daripada pihak Parlimen.

“Dari pihak pembangkang kita akan ambil tindakan.

“Pertamanya, esok melalui Tanjung Karang (Tan Sri Noh Omar), beliau akan bentangkan usul di Parlimen dan kita juga akan bawa kes ini ke mahkamah untuk mencabar tindakan dilakukan SPR,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen, hari ini.

Malah menurut Ahli Parlimen Bera itu, pihaknya telah menghubungi peguam BN untuk mencabar tindakan SPR di mahkamah.

“Kita juga telah menghubungi peguam kita untuk mencabar tindakan dilakukan ke SPR.

“(Bila nak saman di Mahkamah?) Segera, kita tunggu selesai PRK dulu.

“Saya percaya tindakan ini dilakukan SPR, mungkin kerana melihat bahawa besar kemungkinan PH akan kalah jadi diperkenalkan peraturan menyusahkan ini bagi membantu kerajaan.

“Maknanya SPR seolah-olah menjadi alat kepada kerajaan dan tidak lagi bebas,” katanya lagi.

Dalam sidang media sama, Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tindakan SPR itu perlu dibawa ke sidang Dewan Rakyat dahulu sebelum keputusan itu dibuat.

Malah katanya, pelaksanaan itu turut perlu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah.

“SPR perlu berjalan mengikut peraturan sedia ada, jangan buat peraturan baru yang saya fikir menyusahkan orang ramai. Takkan nak pergi rumah-rumah, berapa ratus rumah kita ziarah, kena minta permit.

“Berapa ratus permit polis perlu keluarkan. Biarlah munasabah peraturan tersebut dan kita harapkan, kita minta supaya SPR menarik balik larangan tersebut serta-merta kerana ia bercanggah dengan Akta Pilihan Raya sedia ada,” katanya.

Pembangkang hari ini tidak puas hati dengan kenyataan Pengerusi SPR, Datuk Azhar Azizan Harun yang memberi peringatan bahawa kempen yang dibuat dari rumah ke rumah, perlu mendapat permit daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana ia juga merupakan suatu bentuk berkempen.

Katanya, program tinjauan mesra (walkabout) yang turut dianggap sebagai kempen bergerak, perlu mempunyai tempoh masa dan lokasi yang jelas bagi tujuan pemantauan.

Tegasnya, semua parti atau calon terlibat diingatkan agar mematuhi setiap peraturan yang ditetapkan bagi aktiviti berkempen khususnya melibatkan permohonan permit kempen. -MalaysiaGazette

Tiada ulasan: