Khamis, 7 November 2019

Pembangkang gesa perdana menteri nasihat Agong pecat AG

Ketua Pembangkang, Sabri Yaakob mahu Peguam Negara, 
Tommy Thomas dipecat dari jawatan peguam negara.
 
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad digesa menasihati Yang di-Pertuan Agong supaya memecat Peguam Negara, Tommy Thomas atas alasan campur tangan dalam beberapa proses pendakwaan.

Ketua Pembangkang, Sabri Yaakob berkata dalam perkembangan terbaru Jabatan Peguam Negara memutuskan untuk menggugurkan dua pertuduhan membabitkan Adun DAP yang didakwa kerana memiliki item berkaitan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

“Pembangkang kesal tindakan peguam negara menarik balik kes tuduhan terhadap Adun dari Negeri Sembilan dalam kes LTTE tanpa sebarang alasan. Kita menuntut peguam negara memberikan penjelasan apa alasannya.

“Kita harap perdana menteri mengambil tindakan menasihatkan Agong. Kalau boleh, minta supaya peguam negara berundur secara terhormat atau dipecat daripada jawatannya,” kata beliau pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Ismail turut mendakwa peguam negara bukan sahaja bertindak mencampuri urusan pendakwaan melibatkan isu LTTE, malah pernah berlaku melibatkan isu pembelian banglo oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan kes anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim.

“Kita lihat tindakan peguam negara campur tangan dalam kes mahkamah menarik balik kes dijalankan bukan baru, tetapi berkali-kali telah dilakukan. Pertamanya beliau menarik balik kes Guan Eng melibat isu rumah di Pulau Pinang.

“… campur tangan kes Adib sehingga mahkamah memutuskan berlaku penghinaan mahkamah oleh peguam negara ini menunjukkan peguam negara campur tangan. Saya agak bimbang peguam negara menunjukkan sikap berat sebelah di peringkat awal lagi,” katanya.

Kata beliau, campur tangan seumpama itu merupakan tamparan hebat kepada polis yang menjalankan tugas secara profesional.

“Polis buat tangkapan tapi akhirnya apa yang dilakukan polis tidak diambil kira pihak peguam negara,” katanya.

Semalam, Mahkamah Sesyen Seremban membenarkan permohonan pasukan pendakwaan untuk membatalkan dua pertuduhan memiliki item berkaitan LTTE ke atas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seremban Jaya, P Gunasekaran.

Timbalan Pendakwa Raya, Aslinda Ahad mengemukakan permohonan itu di hadapan Hakim Madihah Harullah.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua sebelum ini, Gunasekaran didakwa memiliki item berhubung kait LTTE di pejabat dan kediaman.

Tiada ulasan: