Isnin, 4 November 2019

Pelantikan GLC: Guan Eng didakwa menipu

Wartawan MalaysiaGazette
MGF30102019_SIDANG-DEWAN-RAKYAT21
Lim Guan Eng


KUALA LUMPUR – Lim Guan Eng didakwa menipu apabila mendakwa hanya anggota biasa atau hanya aktif di peringkat negeri dan bukan di peringkat nasional dilantik sebagai lembaga pengarah syarikat milik kerajaan (GLC).

Ini kerana sejak memegang tampuk pemerintahan kerajaan beberapa ahli politik telah dilantik di dalam GLC.

Mereka ialah Wong Tack, Naib Pengerusi DAP Pahang yang dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia; Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago, sebagai Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN); Dr John Brian Anthony, Ahli Jawatankuasa CEC DAP dan Ahli Jawatankuasa DAP Sarawak, sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Lembaga Pelabuhan Bintulu.

Selain itu, Chan Foong Hin, yang merupakan Setiausaha DAP Sabah, sebagai Pengerusi Lembaga Pelabuhan Labuan, LPA; Jeffrey Chew Gim Eam, mantan Penolong Bendahari DAP Pulau Pinang, sebagai Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang dan Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang Teluk Ewa dan Ean Yong Hian Wah, Timbalan Pengerusi DAP Selangor, sebagai Pengerusi Lembaga Pelabuhan Klang, PKA.

Wong Kah Woh, Ahli Jawatankuasa CEC DAP dan Setiausaha DAP Perak, sebagai Pengerusi Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari dan Lanang, Alice Lau, yang merupakan Setiausaha Publisiti DAP Sarawak, sebagai Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara.

Ahli politik lain yang turut dilantik dalam GLC ialah Zakaria Mohd Salleh, ADUN Permas sebagai pengarah Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora) dan Ismail Salleh PAN, ADUN Pengkalan Kundar sebagai lembaga pengarah Lembaga Kemajuan Kedah (Keda).

“Rupa-rupanya, Guan Eng DAP telah menipu! Begitu mudahnya puak DAP menipu rakyat tanpa rasa bersalah langsung!,” kata pemerhati politik, Dr Novandri Hasan Basri.

Beliau berkata demikian selepas Setiausaha Agung DAP itu berkata, pelantikan ahli politik PH yang menyertai GLC tidak berleluasa dan bukan pada peringkat kebangsaan.

“Malah jika ada lembaga pengarah yang merupakan ahli politik dari PH, mereka hanya anggota biasa atau hanya aktif di peringkat negeri dan bukan di peringkat nasional.

“Dan tidak ada wakil rakyat yang dipilih menduduki lembaga pengarah GLC,” kata Guan Eng yang mengulas kajian badan pemikir, Institut Hal Ehwal Demokrasi dan Ekonomi (Ideas) yang mendapati pelantikan politik terus diamalkan di bawah pentadbiran Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad di sebalik janji-janji PH untuk melakukan pembaharuan. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: