MARANG – PAS menegaskan akan mengotakan janji
memberi sokongan kepada kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad sekiranya
undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri itu benar-benar berlaku.
Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata meskipun
PAS di pihak pembangkang sokongan diberikan kepada Dr Mahathir demi
meneruskan kepimpinan Islam dalam kerajaan.
“Kita
mempunyai maklumat (undi tidak percaya kepada perdana menteri) sebab
itulah kita bagi sokongan…kalau tiada angin masakan pokok bergoyang.
“Kita akan sokong bahkan sokong walaupun dalam kita (PAS)
jadi pembangkang demi kepimpinan orang Islam,” katanya ketika ditemui
pemberita di kediamannya selepas menyampaikan kuliah dhuha di Rusila,
dekat sini hari ini.
Anggota Parlimen Marang itu mengulas kenyataan Dr Mahathir
semalam di Kuala Lumpur yang mahu melihat sama ada PAS mengotakan janji
menyokong beliau jika usaha menggulingkan beliau berlaku.
Baru-baru ini, Timbalan Menteri Besar Kelantan yang juga
Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata sokongan PAS itu
adalah jaminan akan bersama Perdana Menteri atas dasar untuk menjaga
kepentingan agama, bangsa dan negara.
Isu mengenai undi tidak percaya dibangkitkan selepas
pendedahan Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan kononnya
terdapat dua parti dalam PH mungkin merancang pembelotan terhadap Dr
Mahathir.
Abdul Hadi juga memberi bayangan kurangnya penglibatan
parti komponen PH membantu calon mereka dalam kempen Pilihan Raya Kecil
(PRK) Semenyih seperti mengiakan wujudnya usaha menggulingkan Pengerusi
PH itu.— BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan