Rabu, 20 November 2019

Mujahid akan yakinkan 7 negeri larang perkahwinan kanak-kanak

 
 
Menteri Hal Ehwal Islam Mujahid Yusof berkata kementeriannya akan terus meyakinkan jabatan agama negeri untuk melarang perkahwinan di bawah umur.

Pada sidang media di Pulau Pinang, Mujahid berkata akan meneruskan agenda ini pada 2020 memandangkan perbincangan dalam pelbagai saluran mengenai isu berkenaan telah berakhir bagi tahun ini.

Mujahid berkata kementeriannya telah menjalankan perbincangan dengan beberapa jabatan dan merumuskan kerajaan hari ini memiliki kuasa untuk mengeluarkan larangan tersebut.

"Bagaimanapun, beberapa negeri melihat perkahwinan kanak-kanak sebagai tidak wajib atau tidak membenarkan untuk menikah dengan kanak-kanak bawah umur.

"Ia berada di tengah, sama ada ia dibenarkan atau tidak bergantung kepada keadaan.

"Dalam keadaan seperti itu, kami perlu menggunakan prinsip bahawa kerajaan mempunyai kuasa untuk mengharamkan perkahwinan kanak-kanak demi melindungi kepentingan masyarakat yang lebih besar, tetapi sesetengah negeri tidak berhasrat untuk mematuhinya," kata Mujahid.

Mujahid mengulas laporan berita mendesak Putrajaya supaya campur tangan untuk menangani tujuh negeri yang enggan melarang perkahwinan kanak-kanak.

Sarawak, Pahang, Terengganu, Perlis, Negri Sembilan, Kedah dan Kelantan tidak selari dengan larangan kerajaan persekutuan itu.
Gesaan tersebut dibuat NGO hak asasi wanita, Islam Sisters in Islam (SIS) pada 19 Nov, berkata tujuh negeri itu perlu menjelaskan alasan di sebalik keputusan membenarkan perkahwinan bawah umur.

SIS mengingatkan bahawa pembuat dasar, pakar psikologi kanak-kanak, doktor, ahli ekonomi dan juga institusi keagamaan telah menyuarakan mengenai mudarat perkahwinan kanak-kanak.

Mujahid berkata kementeriannya akan membangkitkan semula isu ini melalui perbincangan dengan Majlis Kebajikan Hal Ehwal Islam, yang bermesyuarat tiga kali setahun.

Mesyuarat majlis itu dipengerusikan oleh perdana menteri serta melibatkan menteri besar, ketua menteri, ahli majlis eksekutif agama dan sekretariat Majlis Pembangunan Islam Negara (Jakim) yang diketuai oleh Mujahid.

Selain itu, kata Mujahid terdapat saluran lain di mana kementeriannya dapat meyakinkan negeri berkenaan untuk mematuhi dasar tersebut dengan membangkitkan isu perkahwinan kanak-kanak bersama pengarah Jabatan Agama Islam negeri.
"Tahap seterusnya untuk membawa isu-isu ini adalah dalam Majlis Raja-Raja Melayu, jika raja-raja memutuskan untuk menerima pakai dasar (mengharamkan perkahwinan kanak-kanak), maka negeri-negeri di bawahnya perlu mematuhi," kata Mujahid.

Mujahid berkata kementeriannya selari dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang diketuai oleh Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam gesaan melarang perkahwinan bawah umur.

Katanya, walaupun banyak negeri melihat rasional di sebalik pengharaman perkahwinan kanak-kanak, terdapat negeri lain yang tidak mempunyai kekuatan untuk melakukannya melalui undang-undang.

Ini terutamanya melibatkan negeri-negeri yang tidak sehaluan dengan kerajaan persekutuan, kata Mujahid.

"Kami merasa sukar untuk meyakinkan mereka, kami tidak tahu sama ada ini berpunca daripada politik atau tidak," katanya.

Mujahid berada di Butterworth bersama timbalannya, Fuziah Salleh untuk melancarkan 10 siri buku berjudul "Rahmah" yang menjelaskan konsep belas ihsan dalam Islam.

Buku itu akan diedarkan kepada semua jabatan kerajaan dan institusi pendidikan.

Tiada ulasan: