Rabu, 27 November 2019

MP letih punca PH hampir kalah undi, kata ketua Whip

 
GERALDINE TONG 



Ketua Whip PKR Johari Abdul mengakui beliau sedar BN cuba untuk menggagalkan undian Rang Undang-undang Perbekalan 2020 bagi Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) semalam.

“Inilah yang kami pernah lakukan terhadap BN dulu, ingat? Kami juga selalu serang mereka, jadi sekarang mereka lakukan perkara yang sama pada kita. Tapi buat masa ini kami akan waspada terhadap apa yang berlaku.

“Bila saya nampak beberapa wajah yang kurang saya cam, ahli ahli parlimen BN yang tak pernah 'stay back', saya tahu ada sesuatu yang berlaku, jadi saya sudah sedia untuk itu.

"Tapi sudah tentu, jika awak tanya jumlah (yang menyokong) sepatutnya lebih besar, saya katakan iya,” kata Johari kepada pemberita, di lobi Parlimen, hari ini.

Semalam, kerajaan meluluskan RUU Perbekalan 2020 selepas menang tipis dengan empat undian.
Speaker Dewan Rakyat, Mohamad Arif Md Yusof mengumumkan seramai 32 orang bersetuju berbanding 28 tidak bersetuju.

Tidak berpuas hati, pembangkang meminta undi belah bahagi dibuat kali kedua, namun keputusan kekal berpihak kepada kerajaan apabila 45 wakil rakyat bersetuju agar RUU itu diluluskan.

Johari menjelaskan keletihan di kalangan ahli parlimen menjadi punca jumlah kehadiran wakil kerajaan tidak memberangsangkan.

"Lazimnya kamu tengok, dalam sesi bajet ini, kita balik lewat, selalunya pukul 10, 10.30 malam, jadi bila sampai rumah pukul 12 malam, mandi-mandi, tidur pukul 1 pagi.

"Kemudian tegur hai pada isteri jam 1.30 pagi. Jadi letihlah, letih. Bila bangun waktu pagi kadang-kadang lewat untuk sesi pagi.

“Saya rasa ia tak begitu produktiflah, awak datang balik pada waktu pagi dan rasa mengantuk. Kadang-kadang itulah sebabnya,” katanya.

Berkenaan perkara itu, Johari bercadang untuk berbincang dengan Speaker Dewan Rakyat Mohamad Ariff Md Yusof.

“Mungkin kita kena bincang dengan Speaker untuk lihat bagaimana anggota parlimen boleh dapat waktu berkualiti,” katanya.
Johari berkata, punca lain menyebabkan kehadiran tidak memberangsangkan adalah disebabkan terlalu banyak program kementerian dan agensi lain yang perlu dihadiri pada hujung tahun.

“Memang kita ada tugas harian, ada yang boleh ikut, ada yang tak dapat dielakkan jadi itulah sebabnya. Walau apapun, kita akan sentiasa pastikan kuorum kita cukup,” katanya.

Sementara itu, Anggota Parlimen Ayer Hitam Wee Ka Siong berkata, adalah menjadi tugas pembangkang untuk memberi pengajaran kepada kerajaan disebabkan kehadiran mereka yang tidak memberangsangkan pada waktu malam.

“Daripada 127 ahli, kenapa awak (ahli parlimen) tidak dapat lebih 40 atau 60 pada bila-bila masa jika pembangkang mahu menyerang awak? Apa yang saya maksudkan adalah memberi mereka pengajaran. Ini belanjawan awak, orang awak sendiri tidak datang,” kata Wee yang juga merangkap presiden MCA.

Wee juga menolak alasan keletihan yang diberikan oleh ahli parlimen berkenan dan mengatakan ia sebagai tidak masuk akal.

“Jangan cari alasan. Atas sebab yang mudah, kami (BN) pernah alami situasi ini. Jangan kata ini adalah pertemuan yang pertama. Tahun lalu di tempat yang sama, kami luluskan Belanjawan 2019.

“Jadi, tidak ada alasan untuk mereka katakan, ‘oh, mereka baru and mereka tak tahu apa itu penat atau apa-apa sahaja,” katanya.

Wee berkata, adalah menjadi tugas kerajaan untuk memastikan mereka mempunyai bilangan ahli parlimen yang mencukupi di Dewan Rakyat pada satu masa untuk menyokong belanjawan.

Tambahnya, kemenangan tipis kerajaan semasa rang undang-undang dibahaskan menjadi pengajaran kerana kerajaan sendiri tidak mengambil perkara itu secara serius.

“Saya harap mereka ambil pengajaran dan belajar,” katanya.

Media salah lapor

Sementara itu, Menteri Undang-Undang Liew Vui Keong berkata, isu kekurangan kuorum pada malam semalam tidak timbul kerana bilangan ahli parlimen ketika undian pertama sudah diambil dan melepasi jumlah 26 orang yang diperlukan.

Justeru, Liew menyeru agar media tidak tersalah lapor mengenai perkara itu.

“Semasa perbahasan, perkara ini tidak sepatutnya menjadi isu. Bila undian pertama sudah diumumkan, ada 32 wakil kerajaan dan 28 orang ahli pembangkang, jadi, isu kuorum tak perlu dibangkitkan. Media salah lapor.

“Saya harap media tidak mengelirukan rakyat dengan isu kuorum. Pembangkang sepatutnya lebih matang,” katanya ketika berucap semasa program National Stakeholders Consultation On The Right To Information Legislation, di Putrajaya, hari ini.

Isu tak cukup kuorum di Dewan Rakyat bukanlah kali pertama berlaku. Minggu lepas, sidang Dewan Rakyat terpaksa ditangguhkan disebabkan hanya terdapat 24 anggota parlimen hadir apabila loceng dibunyikan.

Pada Okt, perbahasan pada sesi petang juga terpaksa dibahaskan dalam masa singkat disebabkan tidak cukup kuorum.

Sebelum itu, bilangan kehadiran anggota parlimen juga dikritik semasa perbahasan Belanjawan 2020.

*Laporan tambahan oleh Aidila Razak

Tiada ulasan: