Ahad, 10 November 2019

Melayu rugi undi MCA, Bersatu

Mohamad Ad Bin Satiman

 

Pengundi perlu hantar suara Melayu dan Islam ke Parlimen

DALAM ceramah kempen MCA dan DAP-Bersatu di Tanjung Piai dua-dua pihak nampaknya sedaya upaya cuba meraih undi orang Cina di sana. MCA tidak mengapalah, sudah parti Cina. Namun Bersatu ini pula lebih sudu daripada kuah. Semata-mata mahu dapat undi Cina mereka terpaksa menjadi sesumpah.

Rela bertukar wajah dan menumpukan tenaga pada pengundi Cina. Barangkali Bersatu lupa, majoriti pengundi di Tanjung Piai adalah orang Melayu. Mungkin mereka agak yakin.

Di blok pembangkang Barisan Nasional ingat orang Melayu suka akan strategi mereka letak calon MCA anti hudud? Dan di blok kerajaan pula mereka ingat orang Melayu suka Bersatu jadi tunggangan DAP dan menjadi parti berwajah Cina?

Orang Melayu perlu ingat andai dua blok ini mereka undi nanti, rugi besarlah mereka. Sewaktu berkempen pun kita sudah tahu niat dan wajah sebenar masing-masing. Kata hendak angkat suara Melayu tapi sebaliknya yang berlaku.

Orang Melayu Tanjung Piai perlu bangkit! Jika dahulu semasa Pilihan Raya Umum ke-14, kita boleh berubah tumbangkan Barisan Nasional (BN) dengan harapan Pakatan Harapan (PH) lebih baik. Kini, apabila Pakatan Harapan menipu, kenapa kali ini kita perlu berpatah balik kepada Barisan Nasional?

Kita sudah ada alternatif baru calon dari Berjasa. Berwibawa, bersih, kuat agama, profesional dan amanah. Tidak mahukah kita akan perubahan paling besar dalam sejarah PRK Malaysia? Orang Melayu Tanjung Piai, tunjukkan “kuasa” anda.

Jangan biar parti politik membuli kita orang Melayu. Tunjukkan siapa berkuasa! Sekarang bukan lagi pilihan binari Dacing dan Roket? (PH), kita ada pilihan ketiga Bintang. 100 peratus Melayu Islam. Anda pasti tidak akan rugi wahai pengundi Tanjung Piai!

Ini kalilah kita hantar suara Melayu Islam ke Parlimen! Undi Calon Muslim Berwibawa!

*Mohamad Ad Bin Satiman ,  Ketua Pemuda Berjasa Johor


Tiada ulasan: