Ahad, 10 November 2019

MB Perak berhak pertahan Islam, Melayu

Oleh Fazleen Safina

 

DAP tak boleh halang, kena hormat kepentingan semua kaum

BANGI – Parti dominan di Putrajaya, DAP tidak boleh menghalang Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mempertahankan kedudukan Islam dan Melayu di negeri itu.

Penganalisis politik Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Syed Agil Syed Alsagoff mendakwa, krisis politik yang melanda negeri Perak ketika ini akan menyukarkan lagi kelancaran proses pentadbiran.

“Mereka (DAP) perlu jadi lebih rasional kerana mereka juga berada dalam satu barisan sama di bawah Pakatan Harapan (PH) untuk mendirikan negeri Perak.

“DAP juga kena hormat kepentingan semua kaum serta tidak boleh tekan Menteri Besar untuk ikut kemahuannya.

“Malah, mereka juga tidak boleh menjaga kepentingan diri atau parti tanpa melihat kesan secara menyeluruh. Jadi, mereka perlulah menghormati orang yang telah mereka yakin dan dipilih menjadi Menteri Besar,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net.

Sebelum ini tular rakaman video memaparkan Ahmad Faizal memberitahu, penduduk mengenai kepayahan beliau menjaga kepentingan Islam dan Melayu kerana tidak sebulu dengan kehendak DAP.

Menerusi video itu, Ahmad Faizal dilihat bersama calon PH untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, Karmaine Sardini duduk bersama penduduk sambil menceritakan situasi yang sedang berlaku di negeri pimpinannya.

“Macam saya di Perak, saya seorang terkontang-kanting nak lawan dengan puak-puak DAP ini. Saya nak pertahankan tanah orang Melayu. Saya nak perjuangkan agama kita.

“Saya buat itu perlahan-lahan. Tapi, Alhamdulilah, kat sana (Perak) kawan-kawan UMNO saya tak adalah marah saya macam ini. Kawan-kawan UMNO baik dengan saya,” katanya.

Tidak puas hati dengan kenyataan Faizal, beberapa pemimpin PH dilaporkan, menuntut permohonan maaf secara terbuka, termasuk menuduh Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perak itu sebagai munafik.

Mengulas lanjut, Dr Syed Agil berkata, DAP seharusnya memberi tumpuan kepada kemajuan serta pembangunan negeri dan bukannya hanya memberi perhatian kepada kepentingan parti semata-mata.

Beliau juga menyatakan kebimbangannya jika rakyat dan negeri Perak menjadi mangsa kepada perbalahan itu.

“Namun, bagi saya, perbalahan ini tidak memberi kesan kepada perjalanan Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai, kerana keadaan politik berbeza di kedua-dua buah negeri ini.

“Dekat Johor tiada krisis seperti ini.Tetapi di Perak, kita pernah dengar beberapa kali cubaan untuk menggulingkan Menteri Besar,” katanya.


Tiada ulasan: