Sabtu, 30 November 2019

Mavcom: Scanda Sky bukan syarikat penerbangan berlesen

Mavcom telah mengeluarkan surat amaran kepada Scanda Sky 
mengarahkannya memberhentikan pemasaran perkhidmatan 
serta aktiviti pengiklanan yang menggambarkan ia sebuah 
syarikat penerbangan komersial.
 
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) mengingatkan pengguna bahawa syarikat penerbangan Scanda Sky PLT (Scanda Sky), bukan sebuah syarikat penerbangan berlesen di bawah Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015 (Akta 771).
Dalam kenyataan semalam, suruhanjaya itu memaklumkan telah mengeluarkan surat amaran kepada syarikat berkenaan bagi mengarahkannya memberhentikan pemasaran perkhidmatan disediakan serta aktiviti pengiklanan yang menggambarkan ia sebuah syarikat penerbangan komersial.

“Suruhanjaya mengambil maklum bahawa Scanda Sky telah mengiklankan dan mempromosikan jadual penerbangan komersial di laman sesawangnya menggambarkan ia adalah syarikat penerbangan berlesen.

“Suruhanjaya ingin menegaskan Scanda Sky bukan pemegang Lesen Perkhidmatan Udara (ASL), mahupun Permit Perkhidmatan Udara (ASP) yang dikeluarkan di bawah Akta 771. Ia juga bukanlah pemegang lesen dikeluarkan di bawah Akta Penerbangan Awam 1969 (Akta 3),” menurut kenyataan itu.

Berdasarkan laporan media, Scanda Sky melakukan penerbangan sulung melalui Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) Ipoh, Perak ke Guangzhou, China, pada Rabu lalu (27 Nov), dengan membawa 40 penumpang.

Menurut kenyataan itu, ASL dan ASP diperlukan bagi membawa penumpang, mel atau kargo melalui jalan udara untuk sewa atau upah dalam perjalanan berjadual atau tidak berjadual, di antara dua tempat atau lebih, yang sekurang-kurangnya satu tempat itu berada di Malaysia.

“Scanda Sky mungkin telah menimbulkan kekeliruan orang ramai melalui laporan berita tersebut dan melalui laman sesawangnya yang menyatakan ia merupakan sebuah syarikat penerbangan Malaysia yang dibenarkan untuk mengendalikan perkhidmatan sedemikian.

“Suruhanjaya juga mengambil maklum bahawa Scanda Sky telah memeterai suatu perjanjian ‘charter’ dengan Malaysia Airlines Berhad dan penerbangan tersebut dikendalikan oleh Malaysia Airlines Berhad,” menurut kenyataan itu.

Tiada ulasan: