Selasa, 5 November 2019

Mahkamah tolak permohonan habeas corpus 5 suspek berkait LTTE

Peguam, Ramkarpal Singh (kiri) dan RSN Rayer yang mewakili 
lima suspek ditahan berkaitan LTTE.

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini menolak permohonan habeas corpus yang difailkan lima lelaki, termasuk dua Adun DAP, berdepan dengan pertuduhan berkaitan keganasan minggu lalu atas alasan ia adalah akademik.

Pesuruhjaya Kehakiman, Ahmad Shahril Mohd Salleh berkata, permohonan membebaskan pemohon daripada tahanan bukan lagi isu kerana semuanya kini ditahan di penjara.

“Tangkapan dan penahanan awal mereka untuk siasatan sudah luput selepas mereka didakwa di mahkamah,” kata Shahril yang membenarkan bantahan awal oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Sinti.

Muhammad berkata, writ untuk habeas corpus tidak lagi terpakai apabila tertuduh didakwa dan tiada ikat jamin ditawarkan.

Bagaimanapun, peguam Ramkarpal Singh berkata, permohonan itu masih relevan kerana penahanan mereka menyalahi undang-undang.

“Penahanan lima lelaki itu menyalahi undang-undang kerana satu daripada alasan permohonan itu ialah mereka didakwa melakukan kesalahan selepas penahanan mereka.”

Adun Seremban Jaya, M Gunasekaren bersama Adun Gadek, G Saminathan, S Chandru, V Suresh Kumar serta S Arivainthan memfailkan permohonan itu pada 21 Okt lalu susulan penahanan mereka antara 10 dan 12 Okt.

Mereka memohon dibebaskan daripada penahanan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) susulan dakwaan mempunyai hubungan dengan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) yang sudah terkubur.

Dalam permohonan secara berasingan itu, lima lelaki terbabit menamakan pegawai penyiasat masing-masing, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Pengganas (E8) Cawangan Khas Bukit Aman,
Ayob Khan Mydin Pitchay, ketua polis negara, Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan sebagai responden.

Mereka berkata, penahanan itu menyalahi undang-undang kerana tiada pematuhan ketat ke atas Sosma dan bertentangan kebebasan asasi seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Pada 31 Okt lalu, Gunasekaren, Saminathan, Suresh dan B Subramaniam didakwa memberi sokongan kepada LTTE melalui ucapan atau media sosial sejak 2014 hingga bulan ini.

Lapan lagi – A Kalaimughilan, Chandru, V Balamurugan, Arivainthan, R Sundram, S Thangaraj, M Pumugan dan S Teran – berdepan satu pertuduhan tamabahn memiliki bahan berkaitan kumpulan pengganas itu.

Semua kecuali Subramaniam dan Sureshkumar didakwa dengan pertuduhan sama di lima negeri pada 29 Okt lalu. Mereka berdepan hukuman penjara sehingga 30 tahun atau seumur hidup, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Ramkarpal memberitahu wartawan, Mahkamah Tinggi menetapkan sebutan semula esok di depan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali, selepas sebuah mahkamah rendah minggu lalu membenarkan permohonan 12 lelaki itu, sama ada diberikan ikat jamin walaupun didakwa.

Mahkamah Sesyen, Rozina Ayob dilaporkan berkata, perkara ini perlu dirujuk ke Mahkamah Tinggi untuk menentukan sama ada Seksyen 13(2) Sosma untuk menolak ikat jamin bagi tahanan adalah mengikut berperlembagaan.

Tiada ulasan: