Isnin, 25 November 2019

Mahkamah kekal hukuman penjara, denda bekas ketua Pemuda PKR Ampang

Adam Rosly hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengekalkan hukuman penjara 6 bulan ke atas bekas ketua Pemuda PKR Ampang, Adam Rosly atas 6 pertuduhan memberi pernyataan palsu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika menyiasat kekayaannya.

Pesuruhjaya Kehakiman, Ahmad Shahrir Mohd Salleh berkata, tiada sebab untuk mengganggu keputusan Mahkamah Sesyen ke atas Adam pada April 2018.

“Sabitan bersalah dan hukuman tertuduh disahkan,” katanya tanpa memberi butiran lanjut terhadap keputusannya.

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 26 April tahun lalu menjatuhkan hukuman penjara 6 bulan dan denda RM30,000 ke atas Adam yang didapati bersalah memberi pernyataan dan mengemukakan dokumen palsu kepada SPRM.

Beliau berdepan 6 pertuduhan di bawah Seksyen 32(8)(c) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan, Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 mengenai pembelian sebuah banglo di Ampang.

Adam memberitahu SPRM beliau menerima gaji RM50,000 sebagai pengarah sebuah syarikat bersama RM3,000 kerana mempengerusikan badan pengurusan sebuah pangsapuri.

Katanya, beliau membeli banglo di Kampung Melayu Ampang bernilai RM1.2 juta itu dengan pinjaman daripada 2 Ah Long dan juga dana daripada ibu mentua serta arwah neneknya.

Peguam, Nizam Bashir berhujah Seksyen 32 Amla tidak berperlembagaan kerana peruntukan itu tidak memberi hak kepada Adam untuk kekal senyap ketika disoal siasat pihak berkuasa.
“Beliau ada hak dari segi perlembagaan untuk kekal senyap.”

Timbalan Pendakwa Raya, Nik Haslinie Hashim bagaimana meminta mahkamah mengekalkan penghakiman Mahkamah Sesyen dengan alasan peruntukan di bawah Amla dilulus dan dikuatkuasakan berdasarkan undang-undang.

Tiada ulasan: