Jumaat, 1 November 2019

LTTE: Tiada tawaran jaminan untuk ADUN Gadek

Wan Syamsul Amly, Astro Awani
LTTE: Tiada tawaran jaminan untuk ADUN Gadek
Hakim Rozina Ayob berkata, keputusan sama ada jaminan ke atas semua tertuduh dibenarkan atau tidak akan ditetapkan pada Jumaat. - Foto Astro AWANI
 
 
KUALA LUMPUR: Tiada sebarang tawaran jaminan diberikan kepada ADUN Gadek, G Saminathan, 34 tahun yang menjadi suspek menyokong kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini.

Timbalan Pendakwa Raya, Aslinda Ahad menjelaskan, ia disebabkan pertuduhan berkenaan adalah di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) yang tidak dibenarkan untuk dijamin.
 
Terdahulu, peguam bela Ram Karpal Singh, yang mewakili Saminathan, memohon supaya anak guamnya dibenarkan jaminan atas budi bicara mahkamah selain berhujah, pertuduhan mengikut SOSMA adalah tidak berperlembagaan.

Sementara itu, permohonan jaminan turut dikemukakan tertuduh lain melalui peguam masing-masing.
 
Bagaimanapun, hakim Rozina Ayob berkata, keputusan sama ada jaminan ke atas semua tertuduh dibenarkan atau tidak akan ditetapkan pada Jumaat.

Terdahulu, Saminathan, pemandu teksi, V Balamurugan, 37 tahun; penghantar surat, S Teeran, 38 tahun dan pengutip besi buruk, A Kalaimughilan, 36 tahun, hanya mengangguk faham sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Rozina.

Mengikut kertas pertuduhan, keempat-empat tertuduh didakwa memberi sokongan kepada kumpulan pengganas LTTE dengan menggunakan aplikasi media sosial iaitu Facebook dan YouTube kepunyaan masing-masing.

Perbuatan kesemua tertuduh didakwa dilakukan di pejabat pegawai penyiasat Bahagian C8 (M) Kaunter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman, Kuala Lumpur, pada 8 dan 9 Oktober 2019.
 
Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 130J (1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau maksimum 30 tahun atau denda dan boleh dirampas mana-mana harta yang digunakan atau diniat digunakan untuk melakukan kesalahan itu, jika sabit kesalahan.

Sementara, Teeran turut berdepan satu lagi pertuduhan iaitu memiliki item berunsur perbuatan keganasan yang didakwa mengikut Seksyen 130J B (1)(a) Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dipenjara maksimum tujuh tahun atau denda dan hendaklah juga dilucuthakkan mana-mana item terbabit.

Kalaimughilan pula berdepan satu lagi pertuduhan memberi sokongan dalam satu majlis di Dewan Tan Sri Soma, Wisma Tun Sambanthan, No 2, Jalan Kampung Attap antara jam 8 malam hingga 11 malam, pada 17 Mac 2014 dan didakwa mengikut Seksyen 130J (1)(a) Kanun Keseksaan. 
 
 

Tiada ulasan: