Jumaat, 1 November 2019

LTTE: Dakwa sama P. Ramasamy

fazleen safina 

 

Timbalan Ketua Pulau Pinang II pernah mengaku secara terbuka di FB

BANGI – Kerajaan rasis Pakatan Harapan (PH) seolah-olah mengamalkan pendakwaan terpilih kerana individu lain yang berjawatan lebih tinggi turut terbabit dalam majlis ‘Heroes Day’, tidak didakwa.

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali At-Takiri berkata, perkara berkenaan dibangkitkan kerana PH dilihat tidak adil berhubung dakwaan terhadap dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan 10 lelaki, yang terbabit dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE), baru-baru ini.

Beliau berkata, sebelum ini Adun Gadek G. Saminathan dan Adun Seremban Jaya P. Gunasekaran didakwa kerana menyokong kumpulan pengganas itu dalam majlis ‘Heroes Day’- bagi memperingati pejuang-pejuang LTTE di Taman Ayer Keroh Heights, Melaka pada 28 November 2018.

Walaupun menyambut baik tindakan itu, Khairuddin yakin terdapat individu lain yang berjawatan lebih tinggi turut terbabit dalam majlis sama, namun tiada sebarang tuduhan atau dakwaan dikenakan.

Khairuddin berkata, pemimpin parti rasis dan cauvinis, DAP merangkap Timbalan Ketua Pulau Pinang II, Dr. P Ramasamy pernah mengaku secara terbuka melalui laman Facebook bahawa, beliau turut terbabit dalam majlis itu di ibu negara dan Pulau Pinang.

“Sebagai contohnya, dalam satu muat naik pada 27 November 2015, Dr. P. Ramasamy memuatnaik secara terbuka dalam Facebook beliau gambar-gambar penglibatan beliau dalam majlis ‘Heroes Day’ di Pusat Khidmat DAP Perai,” katanya dalam satu kenyataan.

Justeru, Khairuddin mendesak pihak berkuasa supaya P Ramasamy perlu dikenakan tindakan sama seperti Saminathan dan Gunasekaran kerana beliau juga secara terang-terangan terbabit dalam majlis itu.

Katanya, ia bagi memastikan keadilan dilihat terlaksana terhadap kesemua yang terbabit dalam aktiviti LTTE itu.

“Apatah lagi bila majlis ‘Heroes Day’ yang Dr P. Ramasamy hadiri itu adalah dibuat di Pusat Khidmat DAP, maka pastilah ia melibatkan DAP sendiri, ” katanya.

Terdahulu,Mahkamah Tinggi akan memutuskan sama ada dua Adun bersama 10 lelaki lagi dibenarkan diikat jamin atau sebaliknya, berikutan pembabitan dalam kumpulan pengganas LTTE.

Ini berikutan keputusan Mahkamah Sesyen hari ini yang membenarkan permohonan 12 lelaki itu untuk merujuk isu perlembagaan berhubung jaminan ke Mahkamah Tinggi.

Kedua-dua ADUN itu ialah G. Saminathan (Gadek) dan P. Gunasekaran (Seremban Jaya) manakala 10 lelaki lain ialah V. Balamurugan; S. Teeran; A. Kalaimughilan; S. Chandru; S. Arivainthan; S. Thanagaraj; M. Pumugan; Sundram Renggan @ Rengasamy; V. Suresh Kumar dan B. Subramaniam.

Hakim Rozina Ayob memutuskan terdapat merit dalam permohonan pihak pembelaan mengikut Seksyen 13(2) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) bagi merujuk isu perlembagaan berhubung jaminan ke Mahkamah Tinggi.


Tiada ulasan: