Selasa, 26 November 2019

Kelantan sudi jadi tuan rumah SUKMA 2024

HARAKAHDAILY



KUALA LUMPUR: Kerajaan negeri Kelantan sudi menjadi tuan rumah bagi penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) pada tahun 2024.

Namun Ahli Parlimen Pasir Mas, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari mempersoalkan sejauh mana perancangan jangka panjang Kerajaan Pusat untuk memastikan negeri Kelantan bersedia untuk menjadi tuan rumah.

“Sejak SUKMA diwujudkan pada tahun 1986, semua negeri telah mendapat peluang untuk menjadi tuan rumah kecuali negeri Kelantan.

“Malahan ada juga negeri telah menjadi tuan rumah sebanyak 2 kali iaitu Sarawak, Pahang, Perak dan semua negeri tersebut telah mempunyai kemudahan sukan yang dibangunkan ketika menganjurkan SUKMA,” katanya.

Beliau bangkitkan perkata tersebut ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2020 dan Usul Anggaran Perbelanjaan Pembangunan 2020 di peringkat Jawatankuasa Kementerian Belia dan Sukan Malaysia (KBS) di Dewan Rakyat hari ini.

Menjawab persoalan tersebut, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyambut baik kesudian kerajaan negeri untuk menjadi tuan rumah kerana apabila SUKMA diadakan di sesebuah negeri akan membawa pembangunan infrasukan yang menyeluruh.

Dalam masa yang sama, katanya KBS telah mencadangkan kerajaan negeri Kelantan untuk bersama mengerakkan majlis sukan di negeri itu dan ianya telah disambut baik oleh kerajaan negeri.

Menteri juga berkata bahawa pihaknya kini sedang menaik taraf Kompleks Belia dan Sukan di Panji yang dijangka siap awal tahun 2020, selain akan menaik taraf Balapan dalam Stadium Muhammad ke-4, Kota Bharu pada tahun 2020 dan lain-lain gelanggang sukan di negeri itu secara berperingkat. – HARAKAHDAILY 

Tiada ulasan: