Khamis, 7 November 2019

Kampung Baru nilai sentimental untuk orang Melayu bandar

Oleh Athirah Huda Zalhe

 

Jika ada China Town, Little India kekalkan warisan peninggalan lama

BANGI– Kalau orang Cina dan India mempunyai Chinatown serta Little India, kerajaan juga sepatutnya mengekalkan Kampung Baru sebagai identiti orang Melayu di Kuala Lumpur.

Penganalisis ekonomi, Prof Madya Dr Abu Sofian Yaacob berkata, tidak salah untuk kerajaan merancang pembangunan di kawasan itu, namun biarlah Kampung Baru terus kekal sebagai milik orang Melayu.

Beliau berkata, walaupun ia hanyalah ‘perkampungan’ di tengah ibu negara, tanah Kampung Baru mempunyai banyak nilai sentimental kepada orang Melayu.

“Saya harap menteri wilayah tidak bertindak sesuka hati merampas tanah Kampung Baru daripada pemiliknya atau menawarkan harga yang murah serta tidak memberi keuntungan. Yang duduk di situ adalah orang Melayu dan kamu juga adalah Melayu.

“Beliau pasti tahu nilai tanah bersebelahan dengan KLCC itu antara RM2,000 ke RM3,000 bagi setiap kaki persegi. Sepatutnya tawarlah harga yang hampir-hampir dengan nilai asal, bukan hanya RM1,000 atau diskaun untuk pembelian rumah,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Abu Sofian berkata, kerajaan juga perlu memberi tawaran yang menguntungkan untuk kedua-dua belah pihak supaya ia terus kekal menjadi warisan kepada orang Melayu.

“Saya cadangkan kerajaan membayar kepada pemilik dalam bentuk aset dan tunai. Sekurang-kurangnya mereka ada tempat berteduh dan duit belanja.

“Jika mahu bangunkan projek rumah kedai, biarkan ia dimiliki oleh orang Melayu, Islam. Pulangkan semula kepada orang Melayu, tak kiralah penduduk asal Kampung Baru atau tidak, asalkan orang Melayu berniaga di situ dan komunitinya juga kekal Melayu,” katanya.

Beliau turut mencadangkan supaya kerajaan melaksanakan alternatif lain dengan membangunkan kawasan Kampung Baru dengan konsep komuniti yang moden.

“Perumahan yang ada sekarang ini, boleh cantikkan seperti Eco, gunakan konsep berkenaan dan bangunkan semula. Sekurang-kurangnya penduduk dapat sebuah rumah dan tinggal dalam kawasan yang lebih moden, kondusif dengan semua fasiliti lengkap.

“Saya hanya harapkan supaya tanah Kampung Baru dibangunkan, tetapi dipulangkan semula kepada orang Melayu sebagai penduduk di sana,” katanya.

Abu Sofian turut kesal dengan sikap kerajaan dan menteri yang mahu mengambil tanah secara paksa jika ada pemilik yang enggan menjual lotnya ketika pemilik lot lain tanah itu sudah bersetuju.

“Itulah yang saya agak marah. Kalau bangsa Melayu bukan main paksa lagi, tetapi bangsa lain tidak pula dibuat begitu. Kerajaan perlu fikir bahawa ini adalah nilai sentimental.

“Kekalkan komuniti Melayu di situ. Maknanya kalau ada orang nak jual mesti dengan orang Melayu. Jika nak bangunkan rumah kedai atau ruang perniagaan mesti dahulukan orang Melayu,” katanya.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad mengumumkan kadar baharu bagi pembelian tanah di Kampung Baru dengan nilai RM1,000 satu kaki persegi, yang mana RM850 akan dibayar berdasarkan pilihan pulangan yang dipilih pemilik tanah sama ada dalam bentuk tunai; tunai dan aset; aset sahaja; atau saham.

Sementara baki RM150 lagi, beliau berkata, pulangannya adalah berbentuk pegangan saham dalam Syarikat Tujuan Khas (SPV) yang akan ditubuhkan kelak.

Khalid juga berkata, kira-kira 90 peratus pemilik tanah bersetuju dengan tawaran RM850 bagi setiap satu kaki persegi oleh kerajaan.


Tiada ulasan: