Rabu, 27 November 2019

Jangan tunduk kerakusan DAP!

siti hafidah

 

Utamakan kepentingan hak orang Cina sahaja berbanding kaum lain

BANGI– “Jangan sesekali tunduk dengan desakan DAP Perak yang semakin hari semakin rakus menuntut bukan hak mereka.”

Demikian tegas Pengerusi Perhubungan Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) Perak, Ustaz Shaharuzaman Bistaman kepada Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu selepas DAP Perak mendesak kerajaan negeri menunaikan janji pemberian hak milik kekal tanah kampung baru bermula hujung tahun ini.

Beliau berkata, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP Perak sudah beberapa kali mendesak Ahmad Faizal supaya memberikan status 999 tahun atau hak milik tetap kepada pajakan tanah di kampung-kampung baru Cina di negeri itu, sedangkan ia bercanggah dengan Perkara 91 (5) Perlembagaan Persekutuan.

“Desakan parti tamak haloba itu jelas menunjukkan yang sikap semula jadi DAP yang sangat konsisten dalam memperjuangkan agenda kaum Cina di Perak.

“Jika betul mereka (DAP Perak) menuntut janji manifesto kenapa tidak dituntut janji-janji yang lain? Ini jelas menunjukkan mereka hanya mementingkan hak mereka sahaja,” katanya seperti dipetik portal Berjasa.org.my, semalam.

Terdahulu, Ahmad Faizal dilaporkan berkata, perbincangan bersama perlu dilakukan terlebih dahulu sebelum penyelesaian mengenai perkara itu – desakan DAP Perak – dapat diputuskan.

“Kita akan mendapatkan pandangan daripada semua pihak dan tentunya apa yang diperkatakan dalam Konvensyen DAP akan mendapat perhatian daripada pimpinan Pakatan Harapan (PH) Perak.

“Kita akan buat keputusan bila kami mesyuarat, bila kami dapat duduk bersama (isu berkaitan hak milik kekal tanah kampung baru) itu akan dibincangkan,” katanya.

Dalam pada itu, Ustaz Shaharuzaman melihat, Menteri Besar Perak baru-baru ini seolah-olah cuba mempertahankan desakan parti rasis dan cauvinis itu.

“Saya menasihatkan jangan sesekali tunduk dengan permintaan yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan,” katanya.


Tiada ulasan: