MGF31102019_SIDANG-PARLIMEN51
Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Ramai pengguna lebuh raya tidak berpuas hati dengan tindakan PLUS menghentikan urusan tambah nilai kad Touch N Go di setiap plaza tol.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pembayaran tol tanpa tunai mungkin kedengaran bagus, tetapi tidak sesuai dilakukan pada masa ini, ketika kemudahan tambah nilai yang ada di negara ini belum lengkap dan efektif sepenuhnya.

Malah, katanya, beliau dimaklumkan perkhidmatan tambah nilai Touch N Go dalam talian iaitu e-wallet juga tidak dikuatkuasakan di semua susur keluar tol menyebabkan pengguna tidak boleh ‘keluar’ dari lebuh raya.

“Ada juga yang terpaksa meninggalkan kereta di plaza tol dan berjalan kaki untuk ke stesen minyak berdekatan bagi mendapatkan tambah nilai Touch N Go.

“Selain itu, ada juga yang datang dari luar bandar dan menempuhi lebuh raya PLUS di Lembah Klang tidak mengetahui mereka perlu melalui tol tanpa bayaran tunai.

“Orang kampung terpinga-pinga kerana tidak mendapat maklumat secukupnya dan tidak pasti cara untuk menambah nilai Touch N Go mereka,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Menurut Ismail Sabri, ini bukan negara yang berkebajikan dan efektif, sebaliknya telah menganiayai rakyat.

Sehingga hari ini, katanya, tidak ada seorang menteri pun bersuara termasuk Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

Kata beliau, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang terlibat dengan PLUS juga banyak berdiam diri dan menikus di Putrajaya.

“Saya hairan sejak Pakatan Harapan (PH) memerintah, ada sahaja perkara yang menyusahkan rakyat dan merugikan negara, tidak termasuk isu lain yang penuh dengan cadangan dan keputusan kerajaan yang sangat cacar marba.

“Sudahlah janji nak hapuskan tol tidak ditunaikan, sebaliknya menghapuskan tambah nilai di semua plaza tol. Janji hanya tinggal janji, yang tinggal hanyalah ‘janji dapat menyusahkan rakyat’.

“Saya juga memohon PLUS untuk melihat semula perkara ini dan jangan mementingkan diri,” katanya.

Beliau berkata, PLUS perlu melaksanakan sistem tambah nilai yang efektif terlebih dahulu dan pastikan gerak kerja penyampaian maklumat yang berkesan sebelum mengambil sebarang keputusan melibatkan rakyat di negara ini.

Katanya, oleh kerana kerajaan gagal menghapuskan tol, jangan pula PLUS bertindak sesuka hati menyusahkan pengguna jalan raya iaitu rakyat. – MalaysiaGazette